[ULASAN] Adalah
agak pelik memikirkan betapa setelah lebih lima puluh tahun wujud dalam
persada politik Malaysia, PAS masih belum mampu mengenalpasti siapa
sebenarnya penghalang perjuangannya dan boleh dianggap musuh.
Persoalan ini dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Ummah Sejahtera
(PasMa), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi bahawa fokus pimpinan ulama PAS
kini agak menyimpang daripada hakikat apabila menganggap PasMa sebagai
seteru politik.
"Dia (Ulama) silap musuhlah nak berperang. Mereka sepatutnya perang
dengan Umno-BN. Dia patut lancar perang dengan musuh politik sebagai
parti politik dia tak perlu lancar perang dengan NGO. Silap musuh itu,"
katanya.
Beliau
mempertikaikan tekad Multaqa Ulamak SeMalaysia kelmarin yang
mengisytiharkan “perang terhadap PasMa” yang dianggap sebagai NGO yang
cuba memecahbelahkan PAS dan mencabar kepimpinan ulama.
Phahrolrazi menegaskan bahawa tidak mungkin PasMa boleh memudaratkan
PAS kerana ia hanya sebuah NGO dan bukan parti politik yang mampu
bersaing dengan PAS.
Beliau berkata, oleh kerana PAS sendiri telah mengeluarkan larangan
kepada ahli pimpinannya supaya tidak menyertai PasMa, NGO pimpinannya
itu kini akur dan tidak lagi menjemput pimpinan PAS menghadiri
programnya.
"Saya lihat sejak daripada awal lagi sudah ada satu stigma. Penubuhan
PasMa ini dikaitkan dengan pertentangan golongan dalam PAS. Sebenarnya
kita bebas daripada mana-mana golongan.
“Parti ini (PAS) memang ada golongan yang bertentangan dengan satu sama lain.
"Sebenarnya kita di luar dan kini terseret dengan isu dalaman PAS
seperti isu pemilihan dan sebagainya walaupun kita jelas (PasMa) tidak
ada mekanisme untuk terlibat dalam pemilihan parti (PAS)," tambahnya.
Phahrolrazi musykil bagaimana PasMa dikatakan pernah “menyerang dan
melanggar dasar PAS”. Malah, katanya, PasMa dituduh mengeluarkan
kata-kata menghina presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kenyataan bagaimana yang kata kami (PasMa) menghina (presiden)? Sebab
dia orang pun tak spesifik. Apakah kenyataan (PasMa) yang menghina
presiden PAS itu? Kenyataan yang macam mana yang agak menghina
(presiden) setakat ini?,” soalnya.
Pada Multaqa berkenaan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad
Yakob berkata, PasMa terang-terangan masih aktif sedangkan Majlis Syura
Ulama sudah mengarahkan ahli PAS jangan terlibat dengan aktiviti PasMa.
Perkara ini dibahaskan oleh wakil Kedah, Fauzi Hussain yang mendakwa
wujudnya pihak yang cuba menghasut ahli akar umbi PAS ingkar terhadap
kepimpinan Ulama.
Beliau mempersoalkan kewajaran penubuhan PasMa di Kelantan walaupun
presidennya (PasMa) dari Kedah. Beliau menganggap aktiviti PasMa seperti
bertujuan “melindungi pihak tertentu”.
"Kita tahu siapa di belakang dia (PasMa). Jawatankuasa PAS Pusat
sudah buat pendirian. Namun, masih ada suara sumbang yang bukan sahaja
mempertikaikan Majlis Syura Ulama, namun mempertikaikan tindak tanduk
presiden. Itu satu tindakan biadap," katanya.
Justeru itu, beliau berkata, tindakan harus diambil dengan segera ke atas mereka yang cuba menggoyah kekuatan PAS.
"Kita mesti ada pendirian... Ibarat antara suami isteri, kalau isteri
buat hal, jika suami tidak menceraikannya, maka digelar dayus," katanya.
Di akhir persidangan, multaqa itu sebulat suara meluluskan usul
menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil
tindakan displin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat
dengan PasMa.
Usul berkenaan juga menetapkan sebarang pelanggaran terhadap Majlis
Syura Ulama dan keputusan presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam
undang-undang PAS.
Sehubungan itu, wakil Dewan Ulama Perak, Sidek Noor menyifatkan
timbalan presiden, naib presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tidak
layak memegang jawatan dalam PAS kerana tindakan mereka membelakangi
Hadi.
"Mereka tidak layak memegang jawatan timbalan, naib dan AJK PAS Pusat
sekiranya tidak membantu presiden; lebih baik lepaskan jawatan,"
katanya.
Beliau merujuk tindakan seorang AJK PAS Pusat Perak yang dikatakan
cuba “meracun” pemikiran ahli PAS untuk tidak menerima pelaksanaan hukum
hudud.
"Di kala Kelantan berhempas pulas ingin melaksanakan hudud, tapi ada
pula AJK PAS Pusat dari Perak ini turut ke kampung, cawangan, kata belum
tiba masanya laksanakan hudud.
"Kamu pertikaikan undang-undang Islam ini, undang-undang dari Tuhan.
Kalau kamu tidak yakin, apa lagi, lebih baik keluar," katanya tanpa
menamakan Ahli jawatankuasa PAS Perak berkenaan.
Bagaimanapun Sidek memberi contoh pemimpin PAS yang ingkar arahan PAS
Pusat ketika krisis Menteri Besar Selangor berlaku tahun lalu.
"Ada dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ingkar dengan
keputusan PAS dan pendirian presiden, dengan menyokong Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar," katanya.
Sidek merujuk kepada Hasnul Baharuddin (Adun Morib) dan Saari Sungib
(Adun Hulu Kelang) yang menandatangani perakuan bersumpah menyokong
pencalonan Wan Azizah.
Pada masa sama, beliau juga membidas kepimpinan Pakatan Rakyat yang
dilihat banyak menyerang kepimpinan Hadi. Malangnya, kata beliau sikap
ini disokong oleh segelongan pemimpin PAS sendiri.
"Kalau (veteran DAP) Lim Kit Siang (yang mengatakan sesuatu), mereka
tidak cakap (ia pendirian) peribadi. Namun, bila Hadi cakap, mereka kata
itu kenyataan peribadi.
"Mereka kena sedar, kita pilih mereka untuk bantu Hadi. Tapi mereka
tiba-tiba lawan presiden. Itu kurang ajar. Mereka tidak sedar mereka
tidak layak," katanya.
Multaqa anjuran Dewan Ulama PAS ini adalah medan pertemuan ulama PAS
mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimumkan tugasan ahli ilmu
dalam parti Islam itu.
Persoalannya ialah, jika PasMa dianggap musuh oleh kepimpinan ulama
PAS, tidakkah rumusan ulama itu berkemungkinan besar merapuhkan lagi
hubungan ulama dan pemimpin-pemimpin progresif dalam parti itu?
Atau, sebenarnya ulama PAS hanya didorong oleh anasir tertentu dalam
parti beertujuan meruncingkan lagi permusuhan dalaman PAS? Adakah
berasas pendedahan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim bahawa
kebanyakan mereka adalah Anwarinas?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan