Ketua
Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri
Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan
terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana
Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama
PETALING JAYA - [VIDEO] Sekretariat
Himpunan #KitaLawan menegaskan, perhimpunan anak muda pada 7 Mac depan
tidak akan menjejaskan proses permohonan pengampunan Datuk Seri Anwar
Ibrahim daripada Yang Dipertuan Agong.
Ketua Koordinatornya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, rayuan yang
dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu juga hanya menumpu kepada
dakwaan berlaku ketidakadilan dalam proses penghakiman kes liwat II.
"Jadi saya tidak lihat ada kontradiksi di antara apa yang dilakukan
oleh gabungan NGO dan parti politik dengan insiatif yang diambil oleh
keluarga tersebut," katanya kepada pemberita di ibu pejabat NGO Pusat
Komunikasi Masyarakat (Komas), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan sekretariat itu yang mahu
meneruskan himpunan tersebut walaupun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan keluarga mengemukakan permohonan pengampunan itu berhubung
sabitan kes liwat II di Istana Negara, semalam.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)
juga menegaskan pihaknya akan meneruskan himpunan besar-besaran itu
meskipun tanpa kebenaran pihak berkuasa.
"Istilah permit sudah tidak pakai, kena rujuk kes Nik Nazmi lawan kerajaan Malaysia.
"Apa-apa pun (keadaan) kita akan teruskan 7 dan 8 Mac depan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir bagaimanapun berkata
pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk tujuan tersebut.
"Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan kita akan
susun pertemuan dengan pihak polis, untuk makluman lanjut kita akan
maklumkan kemudian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan