KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang bergiat aktif dalam pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) berhasrat bertanding sebagai calon bebas pada pilihan
raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada
22 Mac ini.
Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin, berikrar
memberi tumpuan kepada perpaduan dan kesatuan masyarakat Melayu di
kawasan itu selain menyatupadukan semula masyarakat Melayu di Kelantan.
"Saya akan menumpukan kepada perpaduan ummah dengan menyatukan kembali
orang Melayu di Kelantan yang saya lihat berpecah belah antara PAS dan
Barisan Nasional (BN)," katanya.
Fadzillah, 55, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja
Cik Siti Wan Kembang Malaysia turut bertekad menjaga adat warisan
Melayu serta dasar-dasar kerajaan dan bukan hanya mahu mencapai
kepentingan peribadi dalam politik semata-mata.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Seminar
Institusi Raja (Siraj) III: Pemerintahan Diraja Dalam Manuskrip Melayu
di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka 22 Mac depan manakala penamaan calon 10 Mac.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Nik Abdul Aziz yang juga
Mursyidul Am PAS menang di kerusi DUN Chempaka dengan majoriti 6,500
undi.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak memperoleh 5,810 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan