KUALA LUMPUR : Sidang telefon selama 15 minit bersama bekas komando
polis Sirul Azhar Umar akan tetap diadakan esok walaupun pihak berkuasa
imigresen Australia dilaporkan masih belum meluluskannya.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata telesidang itu tetap
akan berlangsung untuk semua media pada Isnin (esok) bermula jam 11.30
pagi di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai kelulusan daripada pihak berkuasa pusat tahanan
imigresen Australia di mana Sirul kini ditahan, beliau berkata: "Saya
tak tahu pasal tu," ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau berkata, kerana kekangan masa, sewaktu telesidang selama 15
minit itu, wakil media hanya dibenarkan bertanya beberapa soalan kepada
Sirul, yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia Altantuya
Shaariibuu.
Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya butiran
terperinci yang akan disampaikan Sirul sewaktu telesidang tersebut.
"Saya tidak tahu (butirannya). Saya bukan bertujuan untuk dia bercakap
atau buat sesuatu. Saya pun tidak tahu. Saya hanya hendak bagi peluang
kepada media.
"Kalau sebelum ini, (portal) Malaysiakini saja mendapat akses
(berkomunikasi) dengannya, sekarang saya hendak beri supaya dia boleh
bercakap dengan semua media, walaupun sekadar mengulangi apa yang
disampaikan kepada Malaysiakini," katanya.
Mahfuz berkata, PAS yang sebelum ini pernah berhubung dengan Sirul di
Australia dan sedang membuat persiapan bagi membawa ibu Sirul ke sana,
hanya berniat untuk berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua
media membuat liputan.
Jumaat lalu, PAS mengumumkan mengadakan satu sesi telesidang selama 15
minit bersama bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang dikatakan
lari daripada hukuman gantung dan kini berada di Australia.
Namun, pihak berkuasa imigresen Australia masih belum meluluskan sesi
itu, memetik media Australia yang melaporkan seorang jurucakap menteri
imigresen negara itu sebagai berkata, temu bual dalam pusat tahanan,
pada amnya tidak dibenarkan "atas sebab-sebab operasi".
Jurucakap itu bagaimanapun berkata, ia boleh dibenarkan pada masa akan datang selepas prosedur permohonan yang betul dipatuhi.
Sirul kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan
Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari
berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.
Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menghukum Sirul
dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali gantung
kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada
2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan