Rabu, 25 Februari 2015

Ranking IPT Malaysia: Idris Jusoh rujuk institusi tidak konsisten dan tiada integriti

tony_pua

 Roketkini.com


PETALING JAYA: Dengan merujuk hanya satu institusi seperti ‘Quacquarelli Symonds Ranking by Subject’ (QS) sebagai pengukur mutu pengajian tinggi, Menteri Pendidikan II Datuk Idris Jusoh berlaku tidak jujur menilai mutu pengajian Malaysia.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini mempersoalkan Idris Jusoh yang disifatkan sebagai “ayam bertelur sebiji, riuh sekampung” kerana telah mengambil institusi yang tidak kredibel dalam penilaiannya terhadap ranking IPT tempatan.

“Idris tetap juga pertahan kononnya status IPT kita bertaraf dunia dengan merujuk firma Britain Quacquarelli Symonds.

“Dia kata Universiti Malaya(UM) sekarang berada di ranking 151 dari maju dari tangga 167 sebelumnya, menurutnya lagi UM sudah berada dalam senarai 400 universiti paling berprestij menggunakan piawaian QS.

Namun, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu menolak kenyataan Idris Jusoh kerana menurutnya tindakan Idris yang menggunakan hujah UM berada di ranking 151 dangkal kerana dalam masa yang sama tidak ada di antara 19 IPTA, 36 IPTS, 30 Kolej Universiti lain yang berada dalam senarai 250 teratas di dunia.

“Takkan kerana hanya satu universiti saja kita sudah riuh besar,” kata Tony.

Tony dalam kenyataan yang sama turut mempersoalkan kenapa hanya QS saja yang dirujuk oleh menteri itu, ia menimbulkan persoalan seolah-olah Idris cuba menutup kelompongan besar dalam penilaiannya.

“Metodologi ranking tidaklah sempurna, tetapi kenapa Idris hanya pilih untuk rujuk QS sedangkan banyak lagi badan reputasinya lebih bagus?

“Lebih parah lagi, dari semua badan ranking di dunia, QS adalah badan yang mungkin paling banyak dikritik kerana tidak konsisten dan tidak kemas metodologinya,” nyata Tony.

“Antara 2004 hingga 2009, The Times Higher Education(THE), penerbitan pengajian tinggi ternama di United Kingdom pernah kerjasama dengan QS, namun kerjasama itu diputuskan apabila THE menyedari metodologi QS banyak dikritik. THE kemudian buat ranking mereka sendiri,” jelasnya lagi.

Dalam laporan web makalah Inside Higher Education melaporkan QS telah banyak dikritik, namun kritik paling besar adalah dari seorang sarjana Universiti Melbourne Profesor Simon Marginson.

Simon menyifatkan ranking dunia yang dikeluarkan oleh QS itu sebagai “terdapat banyak ruang-ruang gelap dan masalah bagaimana mereka membuat ranking tersebut” sambil menambah 40 hingga 50 peratus daripada ranking itu berdasarkan kajian reputasi.

Lebih parah lagi,seorang profesor falsafah di Universiti Chicago Brian Leiter mengatakan ranking yang dikeluarkan oleh QS adalah sebuah “penipuan terhadap orang ramai”.

“Seperti yang saya katakan, tidak ada sistem ranking sempurna. Namun tidak dinafikan ia secara relatif boleh menjadi tanda aras mutu antara universiti di peringkat global.

“Cuma persoalannya kenapa Idris bersikap memilih bulu hanya memilih QS sebagai rujukan dan gagal ambil kajian-kajian yang lain?

“Adakah kerana dalam ranking keluaran kajian yang lain, semua IPT Malaysia yang lain corot?

“Jelas sekali Idris tepat dengan apa yang dikatakan sebagai ‘ayam bertelur sebiji, riuh sekampung’ kerana bertegas kononnya Malaysia sudah ‘bertaraf dunia’. Rakyat Malaysia berharap dia lebih banyak kaji lagi dan jujur dalam penilaiannya terhadap IPT kita,” kata Tony. -Roketkini.com

Tiada ulasan: