MALAYSIAKINI
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak gentar
dengan ugutan bunuh terhadapnya oleh sekumpulan lelaki bertopeng di
Internet.
"Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai ketua polis negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.
“Ugutan-ugutan sedemikian merupakan lumrah dalam kehidupan seorang pegawai polis yang menjalankan tugas,” katanya.
Dalam video YouTube itu, sekumpulan individu menggelarkan diri mereka "Anak Malaysia Anti Demokrasi" mengugut untuk membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya.
Video yang dikongsi oleh Facebook anti-Umno, “Ameno World”, menunjukkan
tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka membuat ugutan itu
dengan latar belakang bendera Malaysia.
Individu dalam video itu berkata Amerika Syarikat, Rusia dan China
menjadi "maju dan dihormati kerana rakyatnya tidak memilih saluran
demokrasi untuk menjatuhkan petualang yang melindungi rejim yang korup".
"Kami Anak Malaysia Anti Demokrasi mengumumkan akan membunuh ketua polis negara, meletupkan keretanya.
"Dengan itu, semua ketua agensi kerajaan akan takut melakukan kesalahan
menipu demokrasi kerana rakyat Malaysia akan bangkit memilih jalan bukan
demokrasi," kata individu itu.
Buru bersama SKMM
Dalam kenyataannya hari ini, Khalid menyifatkan bahawa penyiaran video ugutan itu tidak bertanggungjawab.
Malah, katanya, ia menunjukkan bahawa kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Khalid juga berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan identiti pengugut itu.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut
peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang
mengganggu gugat keamanan yang kita kecapi selama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan