MALAYSIAKINI
Walaupun pertikaian mengenai isu hudud masih lagi berlanjutan antara PAS
dan DAP, namun bagi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa),
perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan NGO tersebut.
Ini kerana, PasMa - sebuah NGO yang dianggotai oleh ahli PAS –
berpandangan bahawa perkara itu bukan agenda utama pertubuhan tersebut,
kata Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi.
Sehubungan itu, katanya, PasMa (PasMa) tidak menetapkan sebarang
pendirian dalam mana-mana isu yang melibatkan Pakatan Rakyat termasuk
hudud.
Katanya, ia kerana fokus utama pertubuhan itu adalah untuk memastikan
pemimpin Pakatan dapat mencapai kata sepakat terhadap mana-mana isu yang
berbangkit.
"Apa-apa isu sama ada isu hudud atau persempadanan semula (pilihan
raya), kita nak pimpinan Pakatan mencapai persetujuan, konsesus. Kita
tak terlibat untuk buat keputusan terhadap isu yang spesifik.
"Kita tak letak pendirian kita pada hudud," katanya kepada pemberita
selepas majlis makan anjuran PasMa Selangor di Dewan Sivik Majlis
Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita apakah pendirian PasMa
berhubung hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang
hudud di negeri itu.
Kerajaan Kelantan akan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II 1993 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 16 hingga
19 Mac ini.
Bagaimanapun, perkara itu sehingga kini mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya dari Pakatan iaitu DAP.
Sementara itu, mengulas mengenai Multaqa Ulama PAS minggu lalu yang
dilihat sebagai medan untuk menghentam PasMa dengan pelbagai gelaran
yang diberikan, bekas exco Kedah itu berkata, beliau tidak hirau dengan
perkara tersebut.
Ini kerana, katanya, pelbagai gelaran telah diterima sejak awal penubuhan PasMa.
Malah, katanya, segala perkara yang dibincangkan di dalam multaqa itu
hanyalah cadangan daripada sayap parti dan bukan ketetapan PAS Pusat.
"Multaqa bukan ketetapan PAS tetapi cadangan daripada salah satu sayap
PAS. Kita anggap itu cadangan kerana d peringkat akhirnya ialah di PAS
Pusat atau muktamar. Multaqa baru cadangan.
"Masa mula-mula ditubuhkan lagi, dah banyak gelaran diberi, itu (gelaran
syaitan dan gila) tak heran. Macam-macam gelaran dah diberi pada kita
dah," katanya lagi.
Terdahulu, kira-kira 300 ahli PasMa dari seluruh negara menghadiri
majlis makan malam anjuran PasMa Selangor untuk mengutip dana bagi
membiayai aktiviti pertubuhan itu.
Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib,
aktivis Hishamuddin Rais dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan