Oleh Abu Hassan Adam
Sudah lebih kurang seminggu mereka ( TG Nik Aziz dan Saudara Anwar Ibrahim) hilang dari pandangan. Namun begitu rakyat akan terus mengenang dan tidak akan melupakan. Benar kata orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
“Ketiadaan” Saudara Anwar Ibrahim adalah seperti tidak adanya Nelson Mandela ketika beliau dipenjarakan di Robben Island. Pemergian TG Nik Aziz adalah seperti kematian Jose Rizal setelah beliau ditembak mati di hadapan ‘firing squad’ di Manila
‘Kehilangan’ mereka adalah seperti ‘pemergian’ Prof. HAMKA yang telah begitu banyak meninggalkan jasa dan sumbangan bakti kepada bangsa keturunan Melayu yang buka sahaja di negara Indoensia tetapi seluruh kepulauan Melayu.
Walaupun mereka sudah ‘tiada’ tetapi sebenarnya mereka berada di mana-mana terutama di hati para petani yang letih mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga miskin di desa-desa terpencil seluruh tanah air.
Mereka berada di hati dan perasaan nelayan yang sentiasa mengharapkan nasib mereka diperjuangkan. Mereka juga berada di hati dan perasaan penoreh getah dan warga FELDA yang mengharapkan harga kelapa sawit dan getah ditingkatkan.
Mereka juga berada di hati dan perasaan para mahasiswa yang mengharapkan mereka memperjuangkan nasib para mahasiswa negara yang sentiasa terhimpit dan tertindas ekoran tidak dapat menyuarakan hasrat hati kesan dari belenggu Akta Universiti.
Malangnya mereka sudah tidak kelihatan kelibatnya. Rakyat berbilang kaum sudah mula merindui pidato Saudara Anwar Ibrahim yang sentiasa memperjuangkan ‘the conscience of the majority’.
Mereka juga ‘meratapi’ hasrat yang tidak tercapai ia itu hasrat Saudara Anwar untuk membela nasib ‘anak Melayu adalah anak aku’, ‘anak Cina adalah anak aku’, ‘anak India juga anak aku’, ‘anak Iban, Dayak Bidayuh, adalah anak aku’.
Pastinya mereka merenung dan memandang dengan pandangan jauh memikirkan apakah hasrat sedemikian akan tercapai. Ataupun mungkinkah hasrat sedemikian berkemungkinan hanya tinggal harapan dan impian…
Mereka seolah-olah seperti anak ayam kehilangan ibu….
Apakah terbukti peribahasa Melayu yang mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’ ataupun lebih tepat sebagaimana kata-kata yang selalu disuarakan juga bahawa ‘ walaupun yang patah akan tumbuh namun yang mengganti tidak sama dengan yang patah’. Apakah begitu keadaannya.
‘Ketiadaan’ mereka betul-betul menenggelamkan harapan kebanyakan rakyat di negara ini. Kepada mereka digantungkan harapan untuk membela yang tertindas dan yang tidak bernasib baik. Kepada mereka digantungkan harapan untuk membetulkan yang mana yang telah tersilap, meluruskan yang mana yang telah terbengkok, mengejutkan yang mana yang telah tertidur, menyedarkan yang mana yang masih bermimpi.
Kini TG sudah tiada di dunia ini dan pidato Saudara Anwar Ibrahim tidak dapat didengar lagi.
Rakyat pasti merinduinya dan akan terus merinduinya.
Dan rakyat akan terus menanti seperti rakyat Afrika Selatan menanti kemunculan Nelson Mandela suatu ketika dahulu.-http://abuhassanadam.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan