KUALA LUMPUR - Calon Pas Kawasan dibenarkan bertanding dalam pemilihan Pas jika mematuhi syarat dan pindaan yang ditetapkan oleh parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Asmuni Awi berkata, antara syarat berkempen yang dikenakan termasuk larangan menjatuhkan imej calon lain.
"Calon Kawasan boleh berkempen dengan cara sihat, tetapi sekiranya didapati menyalahi aturan dan pindaan yang ditetapkan, calon mungkin berdepan tindakan disiplin.
"... Ada bermacam tindakan boleh dikenakan ke atas calon yang gagal mematuhi peraturan berkempen, antaranya termasuk hilang kelayakan bertanding. Itu tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh calon itu," katanya ketika ditemui Sinar Online selepas satu sidang media berhubung pemilihan Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat di sini, hari ini.
Pada pemilihan lalu, terdapat insiden pihak tidak bertanggungjawab memulakan kempen memburuk-burukkan calon parti itu dengan memuatnaik ke dalam laman media sosial Facebook hanya kurang 24 jam selepas senarai muktamad calon pemilihan Pas bagi sesi 2013-2015 diumumkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kempen pemilihan Pas bermula dengan kotor]
Sementara itu, Asmuni turut menegaskan, tiada penambahan peraturan dalam pemilihan kali ini.
Kata Asmuni, peraturan yang ada akan digunapakai dalam pemilihan calon peringkat Kawasan dan Dewan Negeri.
"Tidak ada peraturan baharu dalam pemilihan kali ini, namun ia (peraturan sedia ada) akan diperluaskan lagi.
"Ia bagi mengelakkan timbulnya beberapa masalah semasa pemilihan dan tempoh berkempen berlangsung," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan