Khamis, 26 Februari 2015

Mesej 'tolak al-Quran' bukan dari MCCBCHST

MALAYSIAKINI


 


Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berkata ia tidak menyebarkan mesej teks kepada bukan Islam yang menggesa mereka supaya tidak menerima nashkah terjemahan al-Quran dari sebuah NGO Islam.


Mesej (kanan) itu beredar melalui aplikasi mesej WhatsApp yang memberi amaran kepada bukan Islam mengenai satu operasi untuk menukar agama orang bukan Islam melalui agihan nashkah al-Quran tersebut.
 
Setiausaha Agung MCCBCHST, Prematilaka KD Serisena berkata sesiapa yang mengedarkan mesej itu mengandaikan ia adalah dari majlis tersebut tetapi itu tidak benar.

Mesej itu mendakwa nashkah al-Quran itu telah diedarkan kepada orang ramai di Teluk Pulai, Klang.

Pada 9 Februari, MCCBCHST menyuarakan kebimbangannya berhubung rancangan Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam (IIS) untuk mengedarkan sejuta naskhah terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk menangani Islamophobia.

Majlis itu bimbang pengedaran al-Quran itu boleh menjadi cara untuk menyebarkan agama itu kepada orang bukan Islam dan mendorong berlaku penukaran agama.

Bagaimanapun, seorang pegawai IIS memberitahu Malaysian Insider bahawa ia masih belum mengedarkan nashkah kitab suci itu dan ianya hanya akan diagihkan kepada pertubuhan agama dan bukan kepada individu secara rawak.

IIS juga menafikan bahawa ia akan mengambil maklumat peribadi dari mereka yang menerima kitab-kitab suci itu.

Tiada ulasan: