Sabtu, 28 Februari 2015

Persatuan: 'Sistem dua wajah' punca kos perubatan tinggi

MALAYSIAKINI



Persatuan Farmasi Malaysia berpandangan bahawa kontroversi yang timbul mengenai usaha memisahkan fungsi klinik dan farmasi dalam mengeluarkan ubat kini jauh tersasar daripada perkara pokok.

Timbalan presidenya, Amrahi Buang memberitahu Malaysiakini, pemisahan fungsi mendispens ubat (DS) itu sendiri tidak mungkin boleh berlaku dalam sistem kesihatan sedia ada.

Jelasnya, “sistem dua wajah” melibatkan sektor kerajaan dan swasta pada masa inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada kepincangan yang berlaku sehingga menyebabkan jurang kos rawatan, kata Amrahi.

“Di sektor swasta tiada kawalan (ke atas harga ubat), maka kena betulkan dulu sistem ini. Bila kita ada sistem, semua akan dapat faedah,” katanya.

Ketua pegawai farmasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya itu menjelaskan, masalah kawalan ke atas sektor tersebut menyebabkan harga ubat melambung tinggi – malah sehingga sepuluh kali ganda.

“Kalau tidak teratur, kos rawatan akan meningkat. Kenapa? Cuba selesaikan perkara pokok - tiada kawalan.

“Kalau hendak buat pemisahan mendispens (DS), masih jauh perjalanannya. Kerajaan kena kawal sektor swasta supaya menjadi sebahagian daripada sistem.

Kurang kawalan

“Sekarang ada dua wajah, kerajaan dan swasta yang kurang kawalan,” katanya yang berharap agar sistem itu akan membolehkan perkhidmatan kesihatan diakses oleh semua pihak.

Beliau merumuskan tujuan itu seperti berikut:
  • Perlindungan kesihatan universal – memberi akses kesihatan kepada semua rakyat di semua pusat rawatan.
  • Tabung pembiayaan penjagaan kesihatan nasional – ditadbir kerajaan atau badan berkanun.
  • Kawalan harga ubat – Harga yang sama di hospital swasta dan kerajaan, atau sekurang-kurangnya mematuhi harga disarankan.
Jelasnya lagi, sistem yang teratur itu juga akan membolehkan pengamal perubatan dan farmasi menentukan fi yang setimpal.

“Sistem ini akan tentukan piawainya,” katanya lagi, mengulas mengenai kebimbangan para pengamal perubatan bahawa pelaksanaannya akan menjejaskan periuk nasi mereka.

Katanya lagi, bantahan ke atas DS yang ditimbulkan daripada kumpulan pengamal perubatan itu juga hanya berdasarkan andaian.

Tambahnya, beliau yakin bahawa bantahan yang disuarakan dari kelompok pengamal perubatan itu berpunca daripada andaian semata-mata.

RUU Akta Farmasi

Malah, rang undang-undang Akta Farmasi yang memperuntukkan pelaksanaan tersebut juga tidak mungkin akan dapat dibentangkan pada bulan Mac.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam juga sudah berulang kali menegaskan perkara yang sama, katanya.

Beliau juga berharap agar kumpulan pengamal perubatan itu akan dapat menyertai perbincangan bersama mereka untuk membetulkan “sistem dua wajah” itu.

Kumpulan pengamal perubatan tersebut, bagaimanapun tetap dengan pendirian mereka untuk meneliti terlebih dahulu deraf tersebut sebelum menyertai apa-apa pertemuan dengan kementerian.

“Kami mahu menganalisis faktanya, barulah ada perbincangan.

“Tidak ada mana-mana doktor yang sudah melihat Rang Undang-Undang Akta Farmasi ini, termasuk MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) atau MMC (Majlis Perubatan Malaysia).

“Maka, kami mahu deraf ini dikemukakan kepada kami terlebih dahulu sebelum perjumpaan,” kenyataan itu dipetik.
 

Tiada ulasan: