MALAYSIAKINI
Seorang pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak dijatuhi hukuman denda
RM70,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas
mengaku menerima rasuah RM100,000 daripada seorang kontraktor balak,
tiga tahun lepas.
Hakim Rihaida Rafie turut mengarahkan wang tunai RM768,970 milik Amir
Sharifud-din Aliman, 61, yang dirampas dari rumah tertuduh serta wang
berjumlah RM3,103,324.71 dalam 12 akaun milik isteri dan empat anaknya
(jumlah keseluruhan RM3.872 juta) dilucut serta diserah kepada kerajaan
Malaysia.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada prosiding semalam.
Sebelum ini, pada 1 Februari 2013, Amir Sharifud-din mengaku tidak
bersalah di dua Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan menerima rasuah
berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak antara April 2010 dan
Januari 2012.
Dia turut berdepan dakwaan gagal menyerahkan pernyataan bersumpah bagi
menjelaskan mengenai harta berlebihan yang dimilikinya pada 26 September
2013.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), A.Hafiizh Abu Bakar memohon mahkamah menggugurkan 12 lagi
pertuduhan yang dihadapi Amir Sharifud-din itu selepas dia menukar
pengakuannya.
Mengikut pertuduhan, Amir Sharifud-din menerima wang itu dengan tiada
balasan daripada Ismail Abdul Manas di depan Kafe Bawang Merah, No 8281,
Jalan Suda Bahagia, Gerik pukul 9 malam, 3 Januari 2012.
Peguam Saw Hoe Teck pula memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda
atas alasan Amir Sharifud-din menghidap penyakit jiwa iaitu 'Kecelaruan
Afektif Dwikutub' yang disahkan pakar psikiatri Hospital Fatimah Ipoh
dan masih menjalani rawatan susulan.
"Tertuduh dan isterinya juga tidak bekerja. Malah wang yang ada di dalam
akaunnya dan anggota keluarganya sudah disita. Mohon hukuman denda yang
rendah," katanya.
A. Hafiizh memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal dan meminta
mahkamah mengambil kira 12 pertuduhan yang digugurkan sebagai pemberat
ketika menjatuhkan hukuman.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan