Rabu, 25 Februari 2015

Demo 7 Mac turut tuntut Najib undur

MALAYSIAKINI


 


Perhimpunan pada 7 Mac depan bukan semata-mata bagi menyatakan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penganjur perhimpunan itu, dikenali sebagai #KitaLawan menjelaskan, tuntutan itu dibuat kerana Najib didakwa gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negara.

“Jika dibiarkan, lebih banyak lagi kerosakan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,” kata sekretariat kumpulan itu.

“Justeru itu, kami mengajak rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang pertama untuk memperbetulkan hala tuju masa depan negara iaitu dengan bersama-sama menyertai anak muda untuk turun beramai-ramai pada 7 Mac 2015 bagi mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan segera.”

Dalam kenyataan hari ini mereka menyenaraikan 12 “kegagalan” Najib, antaranya dalam isu institusi kehakiman, kewangan negara dan 1Malaysia Development Fund (1MDB) serta pengekalan Akta Hasutan 1998.

Turut dibangkitkan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), beban kos sara hidup, penyalahgunaan institusi kerajaan dan isu berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Sementara itu, #KitaLawan juga berkata perhimpunan mingguan dirancang mereka di depan pusat membeli belah Sogo di ibu negara akan diteruskan seperti biasa walaupun terdapat penangkapan dibuat.

“Ini adalah sejajar dengan pendirian gabungan #KitaLawan yang mana himpunan akan diteruskan setiap minggu sehingga tuntutan kami dipenuhi,” katanya.

Dalam perhimpunan minggu lepas, aktivis Adam Adli Abdul Halim dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Fariz Musa ditahan polis.

Exco kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad terlepas dalam pergelutan itu dan ditahan sehari selepas itu di rumahnya di Shah Alam.

Tiada ulasan: