MALAYSIAKINI
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, kerajaan memberi jaminan
bahawa cadangan untuk memisahkan fungsi klinik dan farmasi dalam
mengeluarkan ubat kepada pesakit tidak akan dikuatkuasakan dalam tempoh
terdekat.
Laporan akhbar The Sun memetik kenyataan Presiden MMA Dr H
Krishna Kumar yang berkata, rang undang-undang untuk memperkenalkan Akta
Farmasi itu juga masih dalam kajian.
Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi jaminan
bahawa Akta Farmasi itu tidak akan dibentangkan pada April.
"Kami diberitahu bahawa tiada pemisahan fungsi dalam mendispens dan
membuat preskripsi dalam akta ini,” katanya seperti dipetik akhbar
berbahasa Inggeris itu.
Sementara itu, laporan Utusan Malaysia pula menyebut, MMA tetap menentang cadangan seperti itu kerana akan menyusahkan pengguna.
Dalam laporan itu, Krishna dipetik sebagai berkata, jumlah ahli farmasi masih tidak mencukupi untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Jumlah ahli farmasi dan farmasi di seluruh negara masih tidak
mencukupi, kebanyakan farmasi adalah di bandar maka akan menjadi beban
kepada penduduk di kawasan luar bandar untuk mendapatkan ubat,” katanya.
Krishna turut menegaskan bahawa sistem sedia ada perlu dikekalkan kerana
terdapat lebih banyak klinik yang beroperasi 24 jam, tidak seperti
farmasi.
Amalan sedia ada akan membolehkan pesakit tetap mendapatkan bekalan ubat walaupun selepas jam 12 tengah malam, katanya lagi.
Selain itu, timbul juga kebimbangan bahawa pemisahan fungsi tersebut akan menyebabkan kos rawatan meningkat.
Kalangan pengamal perubatan itu bimbang pengguna akan terpaksa
menanggung yuran perundingan ahli farmasi selepas menerima rawatan dan
khidmat rundingan mereka.
Selain itu, ia juga dibimbangi akan menjejaskan pendapatan doktor di klinik swasta terbabit.
Pemisahan tersebut buat masa ini sudahpun dilaksanakan di hospital
kerajaan dan juga hospital swasta dengan kapasiti lebih 50 katil.
Cadangan baru ini bagaimanapun akan meliputi pelaksanaan lebih meluas termasuk klinik swasta.
Menurut laporan, Akta Farmasi itu akan dapat menyepadukan penguatkuasaan
Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952
dan Akta Ubat 1956 (Jualan dan Iklan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan