MALAYSIAKINI
Dua peguam mahukan Majlis Peguam memberi penjelasan berkaitan alasan
etika dalam mendedahkan keterangan tertutup, sama seperti yang dilakukan
oleh Tan Sri Mohd Shafee Abdullah dalam siri jelajahnya.
Kedua-dua
peguam itu - Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen
Ipoh, Timor Thomas Su – mengajukan soalan itu dalam surat yang dihantar
dengan tangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Peguam, Chin Oy Sim
hari ini.
"Kami bimbang kerana Shafee mendedahkan keterangan tertutup, yang mana
tidak sesuai. Ada tujuan mengapa keterangan diberikan secara tertutup.
"Kami tidak hanya bercakap mengenai kes Anwar Ibrahim, tetapi kami juga
bercakap tentang proses undang-undang secara keseluruhannya. Tiada lagi
perlindungan terhadap mangsa," kata Su kepada pemberita.
Beliau menegaskan bahawa maksud memberikan keterangan secara tertutup
bukan sahaja untuk melindungi identiti orang berkenaan, tetapi juga
untuk menghormati sebab-sebab di sebalik keputusan hakim.
Berikutan itu, Lim dan Su menegaskan perlunya bagi Majlis Peguam untuk menangani isu itu dan memberi bimbingan kepada peguam.
Shafee adalah seorang peguam terkemuka yang dilantik sebagai pendakwa
apabila kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi
membebaskan Anwar daripada pertuduhan Liwat II.
Pendakwaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan. Mahkamah
Persekutuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan hukuman lima tahun
penjara ke atas Anwar.
Berikutan itu, Shafee telah memberi beberapa ceramah di Pulau Pinang dan
Lembah Klang mengenai butiran perbicaraan itu, termasuk butiran
keterangan tertutup Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan