MALAYSIAKINI
Perdana menteri meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa
menyiasat dan mengambil tindakan berhubung dakwaan wujudnya sebuah
sekolah yang beroperasi tanpa infrastruktur lengkap dengan keadaan
kelasnya tidak berdinding dan berkhemah dipercayai di Tuaran, Sabah.
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Twitternya berkata: "TS
KSN@AliHamsa55 siasat dan ambil tindakan untuk bantu jika benar. Ini
tidak patut berlaku."
Najib mengeluarkan arahan itu dalam reaksinya kepada pemilik Twitter
@saroki19 hari ini setelah menghantar gambar keadaan sekolah itu dengan
hashtag #SchoolWithNoWall kepada perdana menteri.
Saroki19 menyiarkan gambar itu, dengan satu daripada gambar menunjukkan
sebuah kelas beratapkan zink dan bertiang besi tanpa dinding dengan
kelengkapan beberapa meja kayu, kerusi plastik, papan putih dan kipas
dinding.
Sekeping lagi gambar menunjukkan sebuah kelas hanya beroperasi di bawah sebuah khemah.
Sekeping lagi gambar menunjukkan sebuah papan tanda yang tertera:
'Selamat Datang. Sekolah Kebangsaan Penimbawan, Peti Surat 130, 89208,
Tuaran, Sabah'.
Bagaimanapun, Saroki19 tidak memberi penjelasan terhadap gambar yang
disiarkan berhubung kedudukan sekolah itu dan tarikh gambar itu
dirakamkan.
Perdana menteri hari ini mengadakan lawatan sehari ke Sarawak dan
merasmikan beberapa program termasuk menyempurnakan majlis peletakan
batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman yang membabitkan kos RM200 juta,
di Sri Aman.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan