THE MALAYSIAN INSIDER
Tumpuan kepada perang
siber atau "cyber warfare" perlu dipertingkatkan dalam menangani
ancaman serta ideologi kumpulan militan Isis daripada terus berkembang
di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit
Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata pendekatan holistik
perlu diwujudkan dengan kerjasama semua agensi kerajaan berkaitan
termasuk pihak berkuasa agama.
Sebagai contoh, perlu ada laman web untuk menjawab segala kemusykilan
masyarakat termasuk dari segi agama yang berkaitan dengan Isis yang
boleh dijawab secara dalam talian sepanjang masa, katanya.
"Langkah itu akan membolehkan orang ramai mendapatkan fakta yang tepat
pada bila-bila masa secara dalam talian berhubung segala kemusykilan
mereka dalam isu Isis," katanya kepada Bernama hari ini.
Pihak berkuasa agama, sebagai contoh, boleh membetulkan semula kefahaman masyarakat dalam isu berkaitan jihad, katanya.
Ayub turut menjadikan negara jiran sebagai contoh memainkan peranan
proaktif melalui laman web mereka untuk menerangkan mengenai kesesatan
Isis.
“Mereka juga mengeluarkan pamflet berbahasa Inggeris, Tamil dan
Mandarin berkaitan penyelewengan Isis dan turun padang untuk edarkan
kepada masyarakat bukan sekadar memberi syarahan di dalam televisyen dan
khutbah semata-mata.
“Memang sudah tiba masanya untuk wujudkan "engagement" seperti ini
termasuk ‘engagement’ dengan pihak media untuk ‘mendidik’ semula
pemahaman masyarakat tentang jihad sebenar ... masalah ini bukan lagi
masalah di Malaysia sahaja ia telah merebak secara global,” katanya.
Beliau menerangkan kekuatan bahagian media Isis adalah pada penguasaan
mereka di dalam laman sosial dengan mempunyai beribu-ribu "cyber
troopers" yang cekap dan pantas dalam menjawab kenyataan pihak lain
terhadap penyelewengan mereka yang telah menyalahtafsirkan ayat Al-Quran
dan Hadis.
Antara contoh penyelewengan Isis adalah mengaitkan habuan seks dengan
jihad dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan.
“Antara justifikasi mereka ialah kononnya menghalalkan persetubuhan
dengan tawanan perang serta boleh bersetubuh dengan gadis di bawah umur
yang belum baligh,” katanya.
Ayub berkata demikian ketika diminta mengulas ancaman kumpulan militan
Isis serta penyebaran ideologinya yang tersebar secara meluas termasuk
menggunakan saluran media sosial yang dilihat semakin membimbangkan
apabila turut menyasarkan pelajar sekolah.
Rabu lepas, seorang gadis berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disyaki cuba menyertai kumpulan
militant Isis di Syria.
Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.
Ayub berkata pemerhatian polis mendapati masih ada dalam kalangan
rakyat Malaysia yang tidak memahami ideologi songsang yang diutarakan
kumpulan itu secara "senyap" yang turut cuba mempengaruhi pelajar
sekolah.
Katanya berdasarkan pemantauan, polis juga mendapati segelintir warga
Malaysia masih cenderung untuk menyertai kumpulan militan di Syria
walaupun telah banyak tangkapan dilakukan untuk menyekat pemergian
mereka.
Beliau berkata isu pokok dalam ancaman Isis adalah penyebaran ideologi
dan perekrutan yang dijalankan melalui media sosial secara agresif. –
Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan