Kemungkinan untuk calon bebas bertanding tetap ada.
PETALING JAYA: Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan UMNO/ Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding di DUN Chempaka, PAS akan tetap meneruskan persediaan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persediaan akan diteruskan seperti biasa hingga ke hari penamaan calon pada 10 Mac akan datang.
“Saya ucapkan terima kasih atas keputusan BN yang memutuskam untuk tidak meletakkan calonnya, bagaimanapun, kemungkinan untuk calon bebas bertanding tetap ada,” ujarnya dalam kiriman Whatsapp sewaktu dihubungi Free Malaysia Today (FMT).
Ibrahim turut menyatakan rakyat masih lagi bersedih atas pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Berita ini tentunya akan menenangkan jiwa mereka,” ujarnya.
Semalam, Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini.
Ketua penerangannya Datuk Ahmad Maslan dalam status Twitternya memberitahu keputusan tersebut diambil bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan negeri Kelantan akibat banjir besar yang melanda negeri itu tahun lalu.
“UMNO/ Barisan Nasional (BN) tidak bertanding di DUN Cempaka. Diumum lepas Mesyuarat MT malam ini. Tumpu selesai bantuan banjir dan perpaduan ummah,” tulisnya dalam status Twitter.
Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan