Rabu, 25 Februari 2015

Kemuka Petisyen Rayuan Di Saat Akhir, Apa Muslihat Anwar?

shahbudindotcom


Tindakan keluarga Anwar Ibrahim memohon pengampunan Diraja kepada Yang Dipertuan Agong pada saat-saat akhir hari ini bagi hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya, tidak syak lagi merupakan kejutan yang tidak disangka-sangka kepada semua orang.

Sebelum ini beberapa pemimpin PKR, termasuk Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution juga menyatakan Anwar tidak bercadang untuk memohon pengampunan, sebaliknya kekal dengan pendirian tidak bersalah atas pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.

Sehubungan itu, menjelang berakhirnya tempoh akhir mengemukakan rayuan hari ini, PKR telah menyatakan kesediaan untuk menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan nanti.

UMNO juga mengharapkan Anwar tidak mengemukakan rayuan dengan menghebohkan bahawa ianya merupakan tindakan yang memalukan kerana ia dikatakan bermaksud beliau mengakui semua kesalahannya.

Lebih dari itu, UMNO yang mungkin tidak meletakkan calon di Dun Chempaka berikutan kematian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, ternampak lebih ghairah untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh  di mana bukan saja ramai pemimpinnya sudah bercakap mengenai pilihanraya itu, bahkan peguam Shafee Abdullah juga sudah pun "turun padang" berceramah ke kawasan itu.

Bagi UMNO, bertanding di Permatang Pauh adalah medan untuk menunjukkan keberanian manakala tidak bertanding di Chempaka adalah tanda berbuat baik dan ingin bercanda-candaan dengan Pas.

Tetapi dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Nuha muncul di Istana Negara petang ini bagi mengemukakan rayuan, semuanya jadi tersangkut dan kelam-kabut.

Rayuan ini difahamkan dikemukakan atas nama keluarga dan bukannya atas nama parti berdasarkan tiga alasan iaitu prinsip keadilan diketepikan, Anwar dizalimi dengan fitnah dan ketiga kerana berpegang semua pertuduhan adalah konspirasi politik.

Dengan petisyen rayuan ini dikemukakan, bermakna kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh belum boleh diumumkan sehingga ada jawapan mengenainya. Jika setahun baru ada keputusan, bermakna dalam tempoh itu tiadalah pilihanraya kecil akan diadakan. 

Ia juga bermaksud Anwar akan terus kekal sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga ada keputusan sebaliknya selepas itu.

Walaupun ramai yang beranggapan dengan mengemukakan petisyen rayuan ini bermakna Anwar mengaku bersalah atas perbuatan liwat yang dihadapkan kepadanya, tetapi ia tidak semestinya bermaksud demikian.

Mengemukakan petisyen kepada Yang Dipertuan Agong adalah sebahagian daripada proses menuntut pembebasan setelah semua proses mahkamah dilalui dan ia tidak bermakna suatu bentuk pengakuan bersalah. Adalah rugi jika peruntukan yang dibenarkan oleh Perlembagaan ini tidak dimanfaatkan.

Lagi pula,  tiga alasan yang dikemukakan sebagai asas mengemukakan rayuan itu bukan saja boleh diterima, bahkan bertepatan dengan pendirian Anwar selama ini.

Setelah petisyen ini dikemuakan, kini terpulanglah kepada Yang Dipertuan Agong sama ada mahu menerima atau menolaknya. Begitu juga berapa lama keputusan mengenainya mahu dibuat.

Namun, semua ini akan terus menghangatkan percakapan politik kedua-dua belah pihak iaitu BN dan PR mengenainya. Berbanding jika tidak mengemukakan petisyen dan kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen digantikan dengan orang lain yang mungkin menyebabkan dirinya tidak lagi penting selepas itu, sebaliknya sekarang ini Anwar kekal dianggap sebagai ketua yang boleh memberi pelbagai arahan dari dalam penjara.

Pertikaian mengenai siapa Ketua Pembangkang untuk menggantikan Anwar secara automatik tidak berbangkit lagi.

Sementara itu, dengan tertangguhnya pilihanraya kecil Permatang Pauh ini, apakah pula pendirian UMNO dalam pilihanraya kecil Dun Chempaka tidak lama lagi? Kekal tidak bertanding atau bakal berubah fikiran?

Jika tidak bertanding di Chempaka dan lagak mahu tunjuk berani di Permatang Pauh pula sudah tergendala, UMNO sudah pasti akan dilihat sebagai "parti betina" yang sudah hilang kejantanannya.

Apakah juga dengan adanya rayuan ini dan beserta dengan kemungkinan Anwar dibebaskan atas pertimbangan Yang Dipertuan Agong, ia turut berjaya meredakan banyak ketegangan dalam PR, terutama antara Pas dan DAP sekarang ini?

Di ketika yang sama, oleh kerana Najib terus ditekan daripada dalam UMNO dan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad terus kritikal terhadap pentadbirannya, petisyen rayuan ini juga menimbulkan semula persepsi adanya "ehem ehem" antara Najib dengan Anwar sebagaimana yang banyak diperkatakan sebelum ini.

Apa pun, permohonan petisyen rayuan di saat-saat akhir tetap dilihat sebagai "strategi  luar kotak"  yang difikirkan oleh Anwar dari dalam penjara. Anwar nampaknya tetap berjuang dan tidak pernah mengaku kalah.

Tiada ulasan: