Iskandar Abdul Samad  
Iskandar Abdul Samad


SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memperkenalkan beberapa dasar baru bagi memastikan pelaksanaan projek terbengkalai tidak berulang lagi di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) melalui pemantauan enam bulan sekali.

Menurutnya, pemaju diwajibkan menghantar Borang 7F bagi memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memantau secara dekat Jadual Kedua Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang menghendaki pemaju untuk mengemukakan borang-borang A, B, C, D dan E kepada PBT.

“Salinan borang-borang berkenaan perlu dikemukakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan pemantauan. Dengan mengemukakan salinan-salinan borang.

“LPHS akan dapat mengenal pasti sekiranya berlaku masalah terhadap sesebuah projek dan tindakan awal akan dapat dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu katanya, pemaju dikehendaki berdaftar dengan LPHS sekiranya ingin membuat sebarang pembangunan perumahan dalam tepoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang yang diluluskan PBT.

Selain itu katanya, mereka dikehendaki mengemukakan laporan status projek berserta perjalanan kerja bagi setiap projek pembangunan di Selangor bagi tujuan pemantauan dan setiap projek dijalankan mengikut jadual.

“Melalui sistem pendaftaran pemaju ini, LPHS juga akan bertindak sebagai ‘one stop centre’ di mana semua maklumat dikumpulkan dan diedarkan kepada PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awalan sekiranya berlaku projek terbengkalai.

“Kita akan mengadakan lawatan ke tapak projek akan dijalankan dari masa ke semasa bersama pihak perunding projek dan PBT sekiranya projek itu menunjukkan ciri-ciri projek akan bermasalah,” katanya.
Jelasnya, konsep ‘Bina dan Jual’ sedang dilaksanakan dengan lebih meluas demi melindungi rakyat daripada dianiaya oleh pemaju.
“Melalui konsep ini masalah projek terbengkalai tidak akan berulang,” katanya.

Iskandar berkata, bagi tempoh Mac 2008 hingga Oktober 2013 sebanyak 42 buah projek dari keseluruhan 140 projek perumahan terbengkalai di negeri Selangor telah berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Daripada jumlah keseluruhan 42 projek katanya, separuh daripadanya adalah projek yang tidak berlesen.

“Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri terhad dalam memulihkan projek terbengkalai yang mana kuasa ini terletak di bawah KPKT melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, dari Mac 2008 sehingga 31 Oktober 2013 Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang melibatkan 19,958 unit,” katanya.

Bagi mengelakkan diri menjadi mangsa projek terbengkalai jelasnya, pembeli hendaklah memastikan pemaju yang dipilih mempunyai lesen pemaju perumahan daripada Kementerian Perumahan.

"Kerajaan negeri menerusi LPHS boleh mengeluarkan surat mengesahkan sesuatu projek itu terbengkalai supaya pembeli boleh membawa kepada pihak perbankan untuk mendapatkan pengurangan pembayaran ansuran pinjaman," katanya.