ALOR SETAR - Fatwa mengenai penggunaan air kumbahan manusia terawat akan dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum keputusan mengenainya dikeluarkan.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, ia memerlukan kajian terperinci bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kerana ia berkaitan dengan hukum syarak berikutan penggunaannya untuk tujuan landskap oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Bagaimanapun, jika air kumbahan manusia itu dirawat dengan betul sehingga mencapai sukatan yang ditetapkan syarak, beliau berkata ia adalah suci.
“Kita perlu teliti perkara ini terlebih dahulu dan perlu ada perbincangan dengan 10 ahli Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.
“Namun kalau air kumbahan dirawat dengan cara betul dan cukup dua kolah, ia boleh jadi air suci,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan MBAS akan menggunakan air kumbahan manusia yang terawat dan biosolid di sekitar bandar raya itu yang dibekalkan Indah Water Konsortium (IWK).
Kerajaan negeri pula akan memperluaskan penggunaannya untuk tujuan landskap yang dilihat lebih praktikal berbanding baja kimia.
Malah penggunaan air sisa dirawat ini menjimatkan kos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan