KUALA LUMPUR - "Adakah media tempatan akan dikenakan tindakan oleh kerajaan terhadap perlakuan salah lapor kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pesawat MH370," soal Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini.
Menurut Mahfuz,laporan media tempatan baru-baru ini di muka hadapan akhbar mereka menyimpulkan bahawa pesawat MH370 terhempas sedangkan kenyataan sebenar Perdana Menteri hanya menyebut isyarat pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.
"Ada kenyataan daripada kerajaan yang menyatakan bahawa akan mengambil tindakan terhadap pihak media khususnya media asing yang memberikan laporan salah atau pun 'manipulate' tentang isu pesawat MH370.
"Sedangkan Hishammuddin mengatakan bahawa PM tidak pernah mengatakan pesawat itu terhempas. PM hanya katakan pesawat itu berakhir di Selatan Lautan Hindi.
"Antara yang mengatakan ianya terhempas adalah sebuah akhbar tempatan dengan tajuk akhbarnya yang merujuk kepada pesawat MH370 terhempas.
"Adakah ini menunjukkan bahawa media di dalam negara kita memberikan gambaran yang salah dan 'manipulate' kenyataan yang dibuat oleh PM dan adakah PM akan mengambil tindakan terhadap media-media ini," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Dalam perkembangan yang sama Mahfuz menggesa agar Perdana Menteri memberi gambaran sebenar mengenai apakah yang dimaksudkan dengan berakhir di Selatan Lautan Hindi itu,bagi memastikan tidak timbul lebih banyak lagi spekulasi.
"Apa maksud sebenar berakhir di Selatan Lautan Hindi .
"Adakah masih terawang-awang ataupun bagaimana?
"Jadi harus diperjelaskan dan diperhalusi, bagi mengelak lebih banyak spekulasi tidak bertanggungjawab wujud," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan