Roketkini.com
==
KemalanganPada 28 Januari 2005 telah berlaku suatu peristiwa yang hampir meragut nyawa Karpal. Biasanya Karpal menaiki kapal terbang dari KL ke Alor Setar untuk melawat pejabatnya di sana yang diuruskan oleh Jagdeep. Anak sulungnya itu yang biasanya menjemput Karpal lapangan terbang bandar itu dan kemudian mereka memandu pulang ke Pulau Pinang. Tetapi pada hari itu Karpal mengubah rutinnya. Dia keberatan untuk menyusahkan Jagdeep, lalu memilih untuk terbang langsung ke Bayan Lepas dengan pesawat terakhir dari KLIA.
Karpal juga memutuskan untuk tidak membuatkan pemandu peribadinya berjaga hingga larut malam semata-mata untuk menjemputnya dari lapangan terbang ke rumah. Jadi, Karpal mengambil teksi. Hendak dijadikan cerita lagi, Karpal yang biasanya suka duduk di kerusi depan untuk berbual-bual dengan pemandu teksi memilih untuk duduk di belakang pada malam itu.
Sampai di depan rumahnya di Jalan Utama, teksi itu berhenti dan memberi lampu isyarat untuk membelok memasuki laluan ke rumah Karpal. Tiba-tiba sebuah kereta menghentam teksi berkenaan dari belakang dan Karpal terpelanting dalam kereta.
Dikatakan sebaik saja pengurus bank Lau Yee Fuat melihat penumpang teksi yang dilanggarnya, dia berteriak, “What have I done, I hit the Tiger of Jelutong! (Apa aku dah buat, aku langgar Harimau Jelutong!)”
Sewaktu The Star menemubual Gurmit, dua tahun selepas kemalangan tersebut, dia masih mampu mengingati dengan jelas detik tersebut. Ketika itu mereka sedang bergembira kerana anak perempuan tunggal mereka, Sangeet, akan berkahwin.
“Kami sedang memasang lampu hiasan untuk majlis perkahwinan,” cerita Gurmit. “Loceng berbunyi sekitar tengah malam dan saya menyangka Karpal yang memanggil. Tapi yang saya lihat di pintu bukan suami saya, sebaliknya pemandu teksi. Dia menjerit-jerit, ‘Sudah langgar YB. Sudah langgar!’
“Saya berlari ke kereta dan Karpal sedang tertiarap dalam kereta. Katanya belakangnya sakit. Saya menariknya keluar dan anak sulung saya Jagdeep pula mengusung badannya dari arah satu lagi. Tentunya Tuhan yang mempimpin tangan kami sewaktu kami mengangkatnya keluar, kerana jika kami tersilap bergerak kecedaraan Karpal tentu lebih parah.
“Pada awalnya saya lega kerana Karpal masih bercakap. Apabila dia bertanya, ‘di mana tangan saya?’ saya sedar yang dia tak dapat merasa tubuhnya.”
Perkahwinan Sangeet ditangguhkan selama setahun kerana dia mahu ayahnya yang mengahwinkannya. Bagaimanapun hasratnya tidak termakbul. Keempat-empat saudaranya menguruskan perkahwinan menurut cara tradisional Punjadi dan abang sulungnya yang mengahwinkannya.
Sepanjang berada di hospital Gurmit menemani Karpal. Menurut Gurmit, adakalanya dia merasa kekecewaan dan kesengsaraan yang dihadapinya tidak tertanggung. Di waktu begitu dia akan memandu keretanya tanpa tujuan, sambil menangis.
Katanya lagi, berbanding sewaktu Karpal ditahan selama 15 bulan di bawah ISA dulu, keadaan kali ini lebih parah.
“…Saya cuma mampu berdoa. Sewaktu dalam tahanan, dia boleh berjalan, saya pula boleh melawat, bersuara dan memperjuangkan kebebasannya. Sekarang saya hendak bersuara kepada siapa? Seperti kata orang, siapa saja boleh membuat rencana besar, tapi hanya Tuhan yang mampu melaksanakannya.”
Dampak daripada kemalangan telah menyebabkan kecederaan teruk pada tulang belakang Karpal.
Dia tidak lumpuh, tetapi beberapa saraf dan tisu pada bahagian tulang belakangnya telah rosak, menyebabkannya kehilangan deria rasa dan mengurangkan kekuatan anggota tubuh. Menurut doktor, Karpal boleh berjalan semula, tetapi prosesnya akan memakan masa yang lama.
Kini Karpal tidak lagi mampu berjalan di antara pokok rambutan, pisang, mangga dan langsat di kawasan rumahnya di Bukit Damansara yang dibeli hampir dua puluh tahun lalu. Dia juga tak dapat lagi cergas ke sana ke mari, berada di beberapa negeri dalam masa sehari, seperti dulu. Namun, dia tetap bersemangat meneruskan kehidupannya.
Karpal percaya suatu hari nanti dia akan mampu berjalan semula, begitu juga orang-orang di sekelilingnya, termasuk juru-juru terapi yang pernah ke rumahnya setiap hari untuk membantu Karpal menjalani sesi fisioterapi. Menurut Gurmit, mereka enggan menerima bayaran kerana mereka penyokong-penyokong kuat Karpal dan mereka mahu melihatnya berjalan semula.
Dengan berkerusi roda Karpal tetap meneruskan kerja-kerja di firma guamannya, menghadiri sesi parlimen dan menyertai kegiatan-kegiatan politik yang lain, termasuk kempen pilihanraya.
Malah, sejak berkerusi roda Karpal menyedari ada satu lagi kelompok yang boleh dibelanya, iaitu golongan kurang upaya yang kurang diperhatikan di negara ini berbanding negara-negara lain.
Justeru itu, janji Karpal, “Saya akan lakukan apa yang saya mampu untuk memastikan golongan kurang upaya diberi semua peluang selari dengan negara-negara lain.”
Dirgahayu!
Penulisan makalah ini dibantu beberapa makalah dan hasil wawancara yang pernah terbit dalam media massa, antaranya:
Martin Vengadesan, “The Tiger’s still roaring”, The Star, 23 Julai 2010
“His pillar of strength”, The Star, 10 September 2006
“Durable and obdurate”, The Star, 25 Julai 2010
Shazwan Mustafa Kamal, “At 70, karpal says wont close shop”, The Malaysian Insider, 28 Jun 2010
Azmi Anshar, “Dewan Dispatches: The Tiger bites the bullet”, New Straits Times, 21 Mei 2008
“I will walk again”, The Star, 10 September 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan