Raungan dalam kereta remuk Kereta dinaiki keempat-empat mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan di simpang empat Bandar Cheneh Baru, petang semalam.


KEMAMAN – Seorang warga emas terpaksa menahan sakit kira-kira 10 minit selepas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan apabila kereta yang dinaiki merempuh sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di simpang empat Bandar Cheneh Baru, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, C Cheniah, 62, anak saudaranya, R Lathna Rani, 40, dan rakannya, Thai Boh Lam, 66, cedera parah sementara seorang lagi anak saudara yang memandu kereta, Zakaria Abdullah, 46, cedera ringan.

Lebih menyedihkan Lathna Rani yang mengandung anak sulung turut mengalami keguguran.

Zakaria berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki mereka merempuh sebuah Kia Sorento yang didakwanya keluar simpang secara tiba-tiba.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Balok, Kuantan menuju ke Jerteh, Besut kerana ingin menghantar ibu saudara, adik dan rakan ibu saudaranya pulang ke kampung selepas datang bercuti di rumah ibunya di Kuantan.

“Dalam jarak beberapa meter saya nampak Kia Sorento tidak berhenti ketika keluar simpang Jalan Mak Lagam.

“Waktu itu jarak sudah terlalu dekat dan saya sempat berfikir kalau saya cuba elak ke sebelah kiri, kereta saya akan langgar gerai tepi jalan dan kalau saya elak ke sebelah kanan kereta saya akan masuk laluan bertentangan. Kalau masuk ke laluan bertentangan atau langgar gerai mungkin lebih ramai jadi mangsa, jadi saya tidak dapat mengelak,” katanya.

Katanya, ibu saudaranya dikeluarkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh selepas mengerang kesakitan kira-kira 10 minit.

“Adik saya dan kawan ibu saudara pula dikeluarkan dari tempat duduk penumpang belakang oleh orang awam yang mengerumuni kereta kami,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori di Cameron Highlands.

Zakaria berkata, dia yang keluar sendiri dari keretanya sempat menjenguk ke dalam kenderaan Kia Sorento tetapi tiada orang dalam kenderaan berkenaan.

Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di Chukai untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan kemalangan itu, Cheniah patah bahu, Lathna Rani patah tangan dan Boh Lam pula patah kaki.