Selasa, 22 April 2014

PERKASA kritik taman Lingnan, China di P'jaya

MALAYSIAKINI



 


Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini mengkritik cadangan pembangunan “Taman Persahabatan China-Malaysia” di Presint 4, Putrajaya sebagai mercu tanda hubungan Malaysia-China.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali (bawah) berkata, identiti Putrajaya, meliputi sebibina dan landskap sedia ada mesti dikekalkan kerana ia “berteraskan patriotisma negara Malaysia yang asli.”

“Cadangan jambatan reka bentuk gaya Lingnan boleh di buat di Pulau Pinang, Bukan Putrajaya. Janganlah atas nama pelancongan atau duit semata-mata,kita lupa bumi dipijak,” katanya.

Bernama semalam melaporkan, pembinaan taman bercirikan Lingnan, China itu akan dibuat di tanah 0.24 hektar di tapak kekal 11.7 hektar Festival Bunga dan Taman Putrajaya, yang lebih dikenali sebagai Floria Putrajaya.

Majlis pecah tanah dan penanaman pokok kelmarin disempurnakan anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) Hu Chunhua dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.

Dalam ucapannya Aseh dilaporkan berkata projek yang membabitkan kos RM1.5 juta yang disalurkan kerajaan China melalui Persatuan Rakyat Dongguan dijangka siap pada awal Jun ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim berkata, mereka membuat gesaan itu kepada Putrajaya Holding ekoran dihujani gesaan orang ramai supaya keadaan Putrajaya itu dikekalkan.

Menegaskan bukan menentang mana-mana budaya, beliau menegaskan, setiap negara dan bangsa mesti ada nilai patriotisme yang wajib dipelihara.

“Pelancong datang dengan berbagai acara. Oleh itu batalkan hasrat ini dan pindah ke Petaling Street (di Kuala Lumpur) atau Pulau Pinang. Kecewanya saya,” katanya.

“Adakah negara Cina akan bina tapak warisan Melayu di tengah-tengah kota Beijing?” soalnya lagi.

Tiada ulasan: