RAKYAT NEWS
PETALING JAYA - Pasukan Perak bakal berdepan tindakan tegas
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk kemungkinan beraksi tanpa
penyokong, sekiranya didapati bersalah dalam insiden kekecohan selepas
aksi Liga Super di Stadium Perak, Selasa lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya menerima
laporan daripada Pesuruhjaya Perlawanan pada Jumaat mengenai kejadian
itu sebelum membawanya kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk proses
perbicaraan.
"Jabatan Undang-Undang dan Jawatankuasa Tatatertib FAM akan melihat
perkara ini secara keseluruhan. Kalau ada kes, kita akan keluarkan surat
pertuduhan (kepada pihak terbabit).
"Kebiasaannya, kita beri tempoh seminggu untuk sesebuah pasukan memberi
surat maklum balas sebelum Jawatankuasa Tatatertib menentukan tarikh
sesuai untuk perbicaraan kes," katanya.
Hamidin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 bagi penggal 2010-2014 di Wisma FAM,
Kelana Jaya, di sini, semalam.
Ia dipengerusikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan turut dihadiri
timbalan baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta anggota
gabungan FAM.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufik Abdul
Razak berkata pihaknya akan membincangkan kes berkenaan selepas menerima
laporan daripada Sekretariat FAM.
Beliau yang kecewa dengan insiden itu turut menasihatkan penyokong yang
hadir ke stadium supaya tidak mengulangi perkara sama kerana ia hanya
merugikan persatuan bola sepak negeri yang terpaksa menanggung
akibatnya.
"Bagi saya tiada gunanya kita mengenakan denda yang tinggi (kepada
pasukan terlibat) sekiranya penyokong masih mengulangi perkara serupa.
Mereka perlu mengubah sikap demi kemajuan bola sepak negara," katanya.
Aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim itu tercemar dengan
insiden kekecohan yang ditimbulkan segelintir penyokong Perak selepas
pasukan tuan rumah kalah 0-1 kepada pasukan pelawat.
Mereka dilaporkan bertindak liar dengan membaling batu dan mercun
sehingga mencederakan dua petugas media yang membuat liputan
perlawanan.
Pasukan Unit Simpanan Persekutuan dilaporkan terpaksa melepaskan gas
pemedih mata dan pancutan air bagi menyuraikan penyokong tuan rumah yang
terus menimbulkan kekecohan selepas perlawanan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan