Penerbangan Malaysia Airlines yang
menuju ke Bangalore, India, hari ini berpatah balik selepas mengalami
kerosakan gear dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui
Twitternya berkata penerbangan itu membuat pendaratan cemas pada pukul
1.56 pagI dan semua penumpang serta anak kapal selamat.
Beliau dalam perjalanan ke KLIA.
Pengurus Penyelidikan Van Diemen John, 40-an, berkata juruterbang
pesawat MH192 itu amat profesional ketika mengendalikan pendaratan.
"Juruterbang itu begitu tenang ketika beliau mengumumkan bahawa kami
terpaksa berpatah balik ke KLIA tetapi perlu menghabiskan sebahagian
minyak dahulu.
"Kami berlegar-legar di Selat Melaka dan Kuala Lumpur. Beberapa jam kemudian kami mendarat dengan selamat.
"Beliau memberikan arahan dengan jelas. Beliau amat profesional dan
melakukannya dengan baik," kata John yang terbang dari Shanghai untuk ke
Bangalore berjumpa dengan pasukan penyelidiknya.
Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Pulau Pinang yang enggan
dinamakan berkata pendaratan kecemasan itu dikendalikan dengan baik.
"Juruterbang dan anak kapal mengikut prosedur dengan betul. Ia
dikendalikan dengan baik dan saya tidak panik," katannya sambil
menambah, beliau tidak memberitahu keluarganya mengenai insiden itu.
Sementara itu warga Australia Miranda Jason Juse, 30, berkata disebabkan
jurutebang dan anak-anak kapal bertindak secara profesional, semua
penumpang berasa tenang semasa empat jam terbang, berlegar-legar di
udara Selat Melaka.
"Juruterbang melakukan yang terbaik untuk mendarat dengan selamat dan
pesawat itu mendarat lembut dan lancar. Keadaan di dalam pesawat pun
tenang sebaik kami selamat mendarat," katanya.
Semua penumpang agak keletihan selepas melalui pengalaman cemas itu
tetapi mereka masih mampu memberikan senyuman kepada para pemberita
sebagai menyatakan terima kasih kepada dunia yang mereka mendarat dalam
keadaan selamat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan