Rabu, 2 April 2014

Najib perlu jelaskan maksud 'MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi'

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan maksud sebenar istilah pesawat MH370 "berakhir di Selatan Lautan Hindi" seperti dalam kenyataan medianya pada 24 Mac lalu.
 
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata ini kerana kenyataan perdana menteri itu bersifat kabur dan boleh mencetuskan pelbagai spekulasi liar mengenai insiden itu.
 
Sebaik sahaja Najib mengumumkan MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi, media baik tempatan atau antarabangsa bingkas menyimpulkan seolah-olah pesawat itu terhempas dan kemungkinan penumpang bersama anak kapal untuk terus hidup adalah terlalu tipis.
 
Malah ada sesetengah stesen tv tempatan menyiarkan laporan ala-ala 'belasungkawa' mangsa-mangsa yang terlibat.
 
Namun tidak kurang juga terdapat laporan yang mengatakan pesawat itu telah dirampas dan selamat mendarat di suatu tempat yang tidak diketahui, sebelum pesawat itu dicampakkan ke dalam laut.
 
Justeru, bagi Pakatan Rakyat, adalah menjadi keperluan untuk Najib menjelaskan dengan lebih spesifik, apakah mesej yang cuba disampaikan pada sidang medianya baru-baru ini.  
 
"Sebenarnya kenyataan perdana menteri pada 24 Mac lalu ialah bahawa pesawat telah mengakhiri penerbangan sangat jelaslah apa ertinya (terhempas)," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.  
 
MH370 sepatutnya mendarat di Beijing selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lalu.
 
Namun pesawat itu hilang jejak selepas hilang dari radar menara kawalan sekitar jam 1.30 pagi.
 
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga turut mempersoalkan adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap media yang bertindak menyiarkan berita seolah-olah pesawat MH370 itu terhempas, selepas mendengar pengumuman daripada Najib.
 
"Saya nak adakah kerajaan juga akan mengambil tindakan kepada media-media termasuk media dalam negara kita yang membuat liputan daripada kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan MH370 itu berakhir di Lautan Hindi, yang kebanyakan media dalam negara memberi gambaran seolah-olah pesawat itu terhempas," katanya   
 
"Antaranya Metro yang mengatakan bahawa 'Pusara di Lautan Hindi' seolah-olahnya terhempas dan pusara itu di lautan," jelasnya.
 
Sehubungan itu, Mahfuz mahu perdana menteri tampil memperjelaskan apakah maksud sebenar kenyataan beliau pada 24 Mac yang lalu.
 
"Ini menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'berakhir di Lautan Hindi'itu? Adakah masih terawang-awang ataupun bagaimana? Jadi, harus diperjelaskan, diperincikan seperti mana yang dijanjikan oleh PM tetapi tidak diperincikan tentang apa yang dimaksudkan beliau bahawa ia berakhir di lautan Hindi," tegasnya lagi.  
  
Selain itu, Mahfuz juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan bilakah kerajaan menghubungi Rolls-Royce dan Boeing bagi mendapatkan maklumat siasatan berhubung MH370.
 
"Saya nak minta penjelasan kerana sebelum ini kerajaan ada menyatakan mereka telah mendapatkan maklumat-maklumat tertentu daripada perkhidmatan pembekal dan apakah yang mereka maksudkan dengan perkhidmatan pembekal itu? soalnya.
 
"Adakah ini perkhidmatan pembekal dari Boeing dan Rolls-Royce? Jadi, saya nak minta juga bilakah kerajaan menghubungi Boeing dan Rolls-Royce untuk mendapatkan maklumat penyiasatan," katanya.
 
Selain itu dalam perkembangan yang berkaitan, Kit Siang berkata pemimpin Pakatan Rakyat akan diberikan taklimat berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada 8 April ini dan berkemungkinan besar akan disertai oleh Najib.
 
Menurut Kit Siang lagi persetujuan itu dicapai antara beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas sesi asal yang sepatutnya berlangsung semalam dibatalkan.
 
Bagaimanapun, lokasi taklimat itu masih belum diputuskan.
 
"Tadi kita ada bincang dengan Shahidan dan dia kata dia bersedia untuk membuat taklimat itu pada minggu depan hari Selasa oleh perdana menteri atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein.
 
"Kita harap kali ini taklimat ini akan berlangsung," tambah Kit Siang.
 
Pakatan Rakyat sebelum ini membidas kerajaan Persekutuan kerana hanya memberi taklimat bersabit insiden MH370 kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
 
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien memberitahu, jika pembangkang perlu memohon untuk mendengar taklimat itu sepertimana yang di buat kelab penyokong kerajaan (BNBBC) sebelum ini.

Tiada ulasan: