Ahad, 13 April 2014

Menteri cadang prosiding hina mahkamah

MALAYSIAKINI


 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup menasihatkan S Deepa supaya memohon kepada Mahkamah Tinggi agar prosiding menghina mahkamah boleh dimulakan ke atas bekas suami wanita tersebut.

Katanya, Izwan Abdullah patut dikenakan tindakan berkenaan kerana lelaki tersebut sepatutnya mengambil tindakan mengikut undang-undang dan bukannya merampas anak tersebut daripada jagaan S Deepa.

"Saya berharap pihak ibu dapat mengambil tindakan di Mahkamah Tinggi untuk memulakan satu prosiding menghina mahkamah (ke atas Izwan)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan satu dialog berhubung agama Islam dan Buddha di Dewan Kebudayaan Soka Gokkai, Kuala Lumpur petang ini.

Tambahnya Izwan perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak penjagaan dua anak mereka kepada bekas isterinya S Deepa, 30 pada 7 April lalu.

"Keputusan Mahkamah Tinggi semestinya dipatuhi, kalau bapa (Izwan) mahu dapatkan hak penjagaan perlu kembali ke Mahkamah Tinggi mengikut prosedur ditetapkan Mahkamah Sivil.

Katanya, Deepa sebagai ibu juga perlu mengambil tindakan terhadap Izwan kerana mualaf tersebut mengislamkan dua anak tanpa persetujuan.

"Ini ketetapan undang-undang setiap masalah mengubah kepercayaan sepatutnya kedua ibu bapa bersetuju tapi dalam masalah itu perkara ini tidak berlaku sebab itu Mahkamah Tinggi ambil tindakan terhadap perkara ini, ia memerlukan inisiatif daripada ibu itu (Deepa)," katanya.

Izwan, nama asalnya N Viran, didakwa merampas anaknya yang berusia enam tahun itu pada 9 April lalu, dua hari selepas Deepa mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Sivil.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Zabariah Mohd Yusof pada 7 April menetapkan hak penjagaan anak mereka  kepada S Deepa yang memfailkan permohonan perceraian dan hak penjagaan anak-anak beliau pada Disember lalu.

Bagaimanapun, Deepa  perlu meneruskan kes berasingan untuk membatalkan penukaran agama anak lelaki dan anak perempuannya, yang berumur enam dan sembilan tahun itu.

Bekas isterinya pada hari sama kejadian membuat laporan polis dan menggesa agar berkuasa bertindak terhadap suaminya yang didakwa menghina perintah mahkamah.

Tiada ulasan: