Isnin, 14 April 2014

Mayat bayi di dalam longkang disangka bangkai ayam

HARAKAHDAILY 


MELAKA: Seorang suri rumah menemui mayat seorang bayi ketika sedang membersihkan longkang di rumahnya di Limbongan di sini semalam.
  
Julita Jost, 28, berkata mayat bayi tanpa pakaian itu ditemui dalam keadaan badannya hancur kira-kira 5.45 petang.
  
"Bila jengah ke dalam longkang yang tersumbat, saya nampak seperti daging yang sedang dihurung lalat dan sedikit berbau. Pada mulanya saya sangka ia bangkai ayam.
  
"Saya dan suami kemudiannya berasa amat terkejut dan tidak percaya apabila melihat bayi yang telah hancur kepala dan perut, sebelum memanggil beberapa orang jiran untuk memastikannya," katanya kepada pemberita.
  
Beliau berkata salah seorang jirannya kemudiannya menghubungi pihak polis memaklumkan penemuan mayat bayi itu.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat. - Bernama

Tiada ulasan: