Ayub Yaakob Ayub Yaakob


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dakwaan masyarakat dunia mendakwa Malaysia sebagai hab penyeludupan dan perniagaan hidupan liar.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob, berkata, hasil risikan dan maklumat diperoleh dari dalam dan luar negara memang mendapati dakwaan tersebut terhadap Malaysia.

“Hidupan liar itu bukan dari dalam negara, tetapi ia merupakan khazanah dari luar negara seperti gading gajah yang diseludup.

“Mereka menjadikan Malaysia sebagai transit atau hab penyeludupan hidupan liar untuk mengaut keuntungan serta menjayakan agenda yang tidak baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Save The Nature di Maktab PDRM, di sini, semalam.

Menurutnya, PDRM tidak mahu perkara sedemikian terus berlaku dalam masa yang sama melindungi khazanah hidupan liar di dalam negara.

“Terdapat juga usaha pihak yang tidak bertanggungjawab menyeludup haiwan eksotik seperti Pangolin (Tenggiling) serta hidupan liar lain termasuk flora yang turut sama terancam, kita harus berganding bahu melaksanakan penguatkuasaan bersama demi menjaga flora dan fauna,” katanya.

Beliau berkata, PDRM akan berbincang bersama agensi lain dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan undang-undang  bagi membanteras jenayah alam sekitar daripada berterusan.

“Pada peringkat awal, kita menyampaikan penerangan, nasihat, amaran, sebelum tindakan tegas dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Seminar dua hari itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pencegahan perlakuan jenayah alam semula jadi dan resolusi dalam menangani jenayah alam semula jadi.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada seminar itu antaranya, pengurusan alam sekitar, pembalakan haram, kesedaran alam sekitar dan isu-isu pemuliharaan, perancangan dan pemuliharaan hutan di Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2009, Malaysia pernah disenaraikan sebagai antara 10 hab antarabangsa penyeludupan hidupan liar oleh sebuah pertubuhan.

Senarai ini adalah melalui kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu, iaitu melalui faktor lokasi dan keadaan bentuk muka bumi negara ini yang kaya dengan khazanah dan cukup strategik mengundang jenayah sedemikian.