Rabu, 2 April 2014

Mahkamah Rayuan perintah perbicaraan saman tarif air didengar hakim lain

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini memerintahkan perbicaraan saman sivil RM1.05 bilion difailkan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung pelarasan tarif air didengar semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan permohonan peguam mewakili Syabas, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi perbicaraan kes itu didengar semula di hadapan hakim lain.

Sri Ram memohon bagi perbicaraan itu, telah berlangsung selama tiga hari pada September tahun lepas di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Jais, dibicarakan semula di hadapan hakim lain atas alasan pesuruhjaya kehakiman itu telah memberikan pandangannya berhubung merit kes itu semasa menolak permohonannya (Syabas) untuk meminda writ saman itu.

Terdahulu, panel itu sebulat suara membenarkan rayuan Syabas untuk meminda writ saman itu bagi memasukkan CIMB Investment Bank Berhad sebagai plaintif kedua dalam saman sivil itu.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Februari tahun ini yang menolak permohonan Syabas untuk meminda writ saman itu bagi memasukkan CIMB Investment sebagai plaintif dalam saman itu.

Hakim Zaharah, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Tinggi sementara menunggu sehingga selesai permohonan (kerajaan negeri Selangor) bagi mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

Syabas memfailkan saman terhadap kerajaan negeri pada 2010 menyatakan mengikut perjanjian bertarikh 15 Disember, 2004 antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Selangor, syarikat diberi konsesi 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator merawat air dan membekalkan air terawat ke kawasan pengagihan menurut terma ditetapkan dalam perjanjian itu.

Syabas berkata pada 31 Mac, 2008, ia menyerahkan dokumen semakan kepada kerajaan Selangor untuk menyokong permintaannya untuk menaikkan tarif diwartakan sebanyak RM1.39 setiap meter padu kepada tarif baharu RM1.89 setiap meter padu, bagi tempoh operasi ketiga dari 1 Januari, 2009 hingga 31 Disember, 2011.

Ia mendakwa kerajaan Selangor gagal memaklumkan Syabas sama ada ia bersetuju untuk menaikkan tarif diwartakan itu kepada tarif dipersetujui.

Syabas memohon perisytiharan bahawa berdasarkan penilaian sebenar konsesi perjanjian bertarikh 15 Disember, 2004, kerajaan Selangor berhutang dengannya RM1,054,208,382 bilion bagi tempoh antara 1 Januari 2009 dan 31 Mac, 2011.

Syabas mahu kerajaan Selangor membayar jumlah itu dalam pelarasan tarif air.

Kerajaan Selangor dalam kenyataan pembelaannya yang telah dipinda, menyatakan Syabas tidak berhak kepada sebarang pampasan seperti dituntut syarikat itu. – Bernama,

Tiada ulasan: