Jumaat, 4 April 2014

Laksana 'cukai maha kaya' dulu sebelum GST

MALAYSIAKINI


 


MP Pandan Rafizi Ramli menggesa kerajaan mempertimbang bagi melaksanakan tiga cukai yang telah dilaksanakan negara maju sebelum melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini.

Menurutnya yang juga pengarah strategi PKR, cukai itu antara lain dapat menambah pendapatan negara sekali gus mengelakkan membebankan rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah jika GST dilaksanakan.

Tiga cukai itu antaranya Cukai Pertambahan Nilai (Capital Gain Tax), Cukai Durian Runtuh (Windfall Tax) dan cukai yang disifatkan 'cukai maha kaya' yang dikenakan atas individu berpendapatan berbilion ringgit.

Membahaskan rang undang-undang GST di Dewan Rakyat petang ini, Rafizi berkata cukai tersebut telah dilaksanakan di negara maju tetapi tidak dilaksanakan di negara ini.

Malah beliau memberi contoh untuk mudah penjelasannya dan perbahasannya.

Mengulas 'cukai atas pertambahan nilai', dengan memberi contoh, jika beliau memegang saham dalam satu syarikat dan kemudiannya mendapat keuntungan daripada harga saham naik mendadak itu, maka ia dinamakan laba modal (capital gain).

Tanah PKFZ

"(Maka keuntungan itu) di negara lain kena cukai, hanya Malaysia saja tak ada. Ambil tanah PKFZ, dulu ambil cara murah, jual kepada kerajaan cara mahal, dengan transaksinya dapat untung besar.

"Itu namanya capital gain. Di negara lain capital gain kena cukai, tapi di Malaysia tak kena cukai.

"Kalau tengok kekayaan orang Malaysia, kalau nak tambah pendapat tanpa mangsakan rakyat perkenalkan 'Capital Gain Tax' dulu sebelum perkenalkan GST," katanya.

Mengulas 'Cukai Durian Runtuh' (Windfall Tax) ia perlu dikenakan kepada pemain industri atau syarikat yang memonopoli industri dengan mendapat keuntungan yang dianggapnya tidak munasabah atau berganda dengan memberi contoh seperti syarikat televisyen berbayar.

"Sebut Astro, marah, (syarikat lain) tak boleh masuk. Kalau di negara lain, syarikat ataupun industri yang monopoli atau syarikat dapat untung yang tidak munasabah, dikenakan cukai baru.

"Yang kena ini orang-orang kaya dan syarikat besar. Tapi sebut sahaja di Malaysia, sebut nak (buat saja), semua bangun (berkata ini) untuk kepentingan ekonomi. (Kerajaan) tak berani nak bangkang seperti kita bangkang GST.

'Cukai Maha Kaya'

"Dalam industri (untung) berlipat kali ganda besar, sepatutnya ada cukai durian runtuh supaya durian itu dikongsi, jangan dia seorang makan," katanya.

Mengulas 'cukai maha kaya', Rafizi berkata ia dikenakan kepada individu yang "terlalu kaya dan sampai mati makan tak habis", bagi membezakan dengan dengan rakyat biasa dan kelas pertengahan.

"Pada kadar dan struktur yang ada sekarang, pekerja eksekutif, di syarikat swasta,bayar cukai yang sama dengan orang paling kaya di negara ini.

"Tanya rakyat di kampung atau bandar, adil atau tidak, untuk melaksanakan GST, sedangkan perkara ini tidak diperbetulkan terlebih dahulu.

"Kalau kerajaan kata perlu tambah pendapatan, kenapa tidak dipertimbang perkara ini dulu, sebelum dilaksanakan GST ini," katanya.

Tiada ulasan: