Selasa, 22 April 2014

Isu tukar MB: Exco T'ganu kata jangan jadi langau

MALAYSIAKINI


 


Seorang anggota exco Terengganu, Rozi Mamat menafikan spekulasi bahawa beliau bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar.

ADUN Telemong itu menyifatkan perkara tersebut sebagai “cerita palsu” yang sudah lama berlegar di Terengganu dan berharap ia akan dihentikan, lapor akhbar Sinar Harian.

Beliau turut menyifatkan individu yang menggembar-gemburkan isu tersebut sebagai langau kerana hanya memburukkan keadaan.

“Saya harap mereka yang menyebarkan cerita palsu ini supaya berhenti dariapda terus berbuat demikian dan tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Sepatutnya kita sebagai umat Islam, jika tidak mampu menjadi garam di lautan, jangan kita menjadi langau yang boleh memburukkan keadaan,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar tersebut.

Sinar Harian turut melaporan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa akan menukarkan Ahmad Said ke satu jawatan lain.

Tanpa menyatakan sumber khusus, laporan berkenaan memetik tulisan di blog dan laman sosial dan turut membangkitkan mengenai tindakan kumpulan penyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

“Pertukaran itu dikatakan berpunca daripada laporan 'geng Idris Jusoh' yang bukan sahaja menyebut Ahmad Said membentuk kroni dan menyingkir lawannya secara halus di semua peringkat, bahkan beliau juga dikatakan tidak menghormati perjanjian perdamaian antara dua puak yang diusahakan oleh Umno Pusat sebelum ini,” laporan itu dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Seremban Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau akan menerima keputusan sekiranya diminta oleh Najib untuk meninggalkan jawatan tersebut.

Laporan Bernama semalam menyebut, beliau akan perdana menteri berhak untuk memilih pemimpin untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Sebagai seorang pekerja, pertukaran portfolio adalah perkara biasa. Kita menjalankan tugas dan bila diminta bertukar atau bersar, kita terima dengan lapang dada,” katanya.

Spekulasi berhubung jawatan tersebut timbul rentetan daripada tulisan pojok pengarang Mingguan Malaysia yang mula membangkitkan spekulasi tersebut.

Tanpa menamakan mana-mana menteri besar, tulisan dalam akhbar milik Umno itu turut mendakwa Najib Razak sudah mempunyai senarai nama sebagai pengganti dua menteri besar.

Dalam pojok Bisik-bisik Awang Selamat itu, editor berkenaan turut menyokong usaha berkenaan, yang menurutnya mampu "menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri."

"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.

Tiada ulasan: