Pesawat
penumpang Malaysia Airline MH192 dilihat pada landasan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Malaysia, semalam. - Foto
EPA
KUALA LUMPUR - Insiden tayar pecah pada gear pendaratan pesawat seperti yang dialami oleh penerbangan MAS MH192 bukanlah sesuatu yang ganjil, malah ia pernah berlaku kepada pesawat komersial lain, kata pakar industri penerbangan.
Sambil menjelaskan perkara itu boleh berlaku kepada mana-mana pesawat, Peter Talalla, bekas penasihat khas Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, berkata apa yang penting, kejadian itu tidak menjejas dan membahayakan operasi penerbangan secara keseluruhannya.
"Hakikatnya, walaupun ini tidak berlaku setiap hari, pesawat sering mengalami masalah gear pendaratan tetapi ramai yang tidak menyedarinya.
"Kenapa? Kerana ia (tayar pecah) jarang mengakibatkan kematian atau kecederaan, jadi ia tidak menjadi isu kepada mana-mana pihak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Talalla yang berpengalaman hampir 34 tahun dalam industri penerbangan, berkata beliau sendiri pernah melalui detik itu di mana pesawat yang dikendalikannya mengalami masalah kegagalan tayar berfungsi semasa pendaratan.
"Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah semasa pesawat berlepas kerana sejurus selepas berlepas, roda ditarik balik dan putaran roda yang menghasilkan api 'boleh berlaku'.
"Tetapi, ada alat pengesan kebakaran pada roda yang memberi isyarat kepada juruterbang. Jika kebakaran berlaku, senarai semak kecemasan akan mengarahkan juruterbang untuk menurunkan gear pendaratan (roda) dan berpatah balik untuk mendarat," jelas beliau.
Talalla turut memuji kecekapan juruterbang penerbangan MH192 Kapten Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang Prakash Kumar dalam mengendalikan situasi cemas itu.
"Bagi saya, mereka telah melakukan yang terbaik. Juruterbang MH192 telah mengendalikan situasi ini dengan sangat profesional dan mematuhi prosedur operasi standard serta manual senarai semak dan operasi penerbangan," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Kamarul Arifin Ahmad menjelaskan tiada punca spesifik bagaimana kejadian itu boleh berlaku, namun ia dapat dirungkai setelah siasatan terperinci dilakukan.
"Antaranya faktor yang mendorong tayar gear pendaratan sesuatu pesawat itu pecah adalah faktor cuaca, jangka hayat dan kadar tekanan angin. Semua itu perlu diambil kira dengan merujuk kepada rekod penyelenggaraan pesawat terbabit," jelasnya.
Pesawat MH192 itu, yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa K di Sepang pada 10.09 malam tadi ke Bangalore, India.
Ia kemudian mengesan gear pendaratan sebelah kanannya tidak berfungsi, menyebabkan juruterbang berpatah balik untuk melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada 1.56 pagi tadi.
Pada 3.30 petang tadi, pesawat lain MAS yang membawa kesemua penumpang berkenaan berlepas dari KLIA ke Bangalore.
Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya pula berpendapat MAS perlu mengkaji semula prosedur pemeriksaan kejuruteraan terhadap pesawat-pesawatnya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan