KOTA BHARU - Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bersedia melobi Ahli Parlimen Umno bagi menyokong pembentangan rang udang-undang persendirian Kerajaan Kelantan di Parlimen bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini.
Annuar berkata, Umno mempunyai 87 dari 88 ahli Parlimen beragama Islam dan beliau percaya sebahagian besar akan menyokong pembentangan itu dibuat.
“Sebenarnya ia tidak perlu dibawa ke Parlimen memandangkan Dun Kelantan sudah meluluskannya, tetapi sekali lagi saya nyatakan tidak harus ada tanggapan negatif dan kita perlu bersangka baik, jika Pas ingin membawa perkara ini melalui undang-undang persendirian, maka kita mengalu-alukan dan saya sedia melobi Ahli Parlimen Umno supaya menyokong.
“Saya sudah bercakap sebahagian besar Ahli Parlimen Umno dan mereka positif untuk menyokong,” katanya selepas merasmikan majlis Mesra Siswa peringkat Parlimen Ketereh di Kampung Chengal di sini semalam.
Annuar yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional Kelantan berkata, walaupun terdapat pendapat mengatakan hudud yang diluluskan Kerajaan Kelantan itu tidak bertepatan dengan hudud sebenar, namun ia perkara berbeza dan harus diselesaikan pada peringkat ketua agama.
“Tetapi apa yang penting, jika mereka berkeupayaan melaksanakan hukuman itu berdasarkan kelulusan Dun dan sokongan politik, ia sepatutnya dilakukan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Annuar berkata, pada pembentangan undang-undang persendirian itu, Pas perlu menyelesaikan sikap rakan politiknya DAP dan sesetengah wakil PKR yang menentang pelaksanaan itu.
“Mereka kena selesaikan masalah dalam rakan mereka, lebih-lebih (pendirian) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata, Kerajaan Kelantan tetap dengan pendiriannya untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan walaupun ditentang rakan sekutunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan