Rabu, 9 April 2014

Baru sehari jadi Adun, Dr Wan Azizah mula jadi sasaran

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beraksi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beraksi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim. 



























Baru sehari menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mula menerima “serangan” daripada barisan pembangkang Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini apabila menimbulkan isu moral suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kes Liwat II dan Langkah Kajang.

Adun BN sejak awal mempersoalkan Pakatan Rakyat yang tidak mengiktiraf integriti institusi kehakiman apabila enggan menerima keputusan kes Liwat II, namun menyifatkan mahkamah sebagai adil apabila menolak pendengaran saman golongan ibu tunggal yang difailkan terhadap kerajaan Selangor.

Pencaturan Langkah Kajang juga turut diperlekehkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsudin Lias yang mendakwa Anwar tidak layak memimpin negeri.

Shamsudin yang juga Adun Sungai Burong itu membahaskan mengenai Titah Ucapan Diraja semasa pembukaan pertama sidang dewan semalam yang menasihatkan wakil rakyat supaya jangan bertelagah sesama sendiri.

Beliau mengkritik Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang diwujudkan secara sengaja hanya disebabkan mahu menyelesaikan kemelut dalaman pemimpin PKR Selangor.

Katanya, Langkah Kajang juga sengaja direka Pakatan Rakyat untuk memenuhi cita-cita Anwar menjadi menteri besar.

Sebaliknya niat gagal apabila Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas panel hakim mendapati Anwar bersalah dalam kes Liwat II.

Anwar kini hanya ada satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan hukuman ditangguhkan sementara sehingga proses rayuan selesai.

"Ini semua takdir. Sedangkan kapal terbang hilang pun dikira takdir," katanya sebelum ditegur Speaker Hannah Yeoh yang melarang Shamsudin daripada mengeluarkan kenyataan menghina mana-mana pegawai eksekutif negeri.

Beliau kemudiannya meneruskan hujah perbahasan dengan mendakwa Penasihat Ekonomi Selangor itu juga pernah menggunakan khidmat raja bomoh – individu yang mendakwa mampu mengesan kehilangan kapal terbang MH370 melalui ilmu ghaib.

Lantas membuat Dr Wan Azizah segera bangun mencelah dan membidas kenyataan Shamsudin.

"Saya nak tanya mana bukti yang kata Ketua Pembangkang guna khidmat raja bomoh? Yang saya baca raja bomoh ini diundang menghadiri jamuan tetapi kita tidak menggunakan perkhidmatannya.

"Saya nak tanya juga, kenapa tak tanya mengapa perdana menteri kita ketika buat sidang media tidak berani menjawab soalan media sedangkan penasihat ekonomi berani apabila dipanggil oleh SkyNews dan CNN.

"Dia menjawab apakah ada sistem elektrikal Marconi dalam radar, kenapa sistem kita tidak dapat melihat kapal terbang yang tidak mengikut arusnya.

"Ini adalah satu pelanggaran (peraturan)... sebab itu saya katakan kasih sayang kami kepada negara ini tidak berbelah bahagi," katanya.

Keadaan tegang itu menyebabkan Dr Wan Azizah kelihatan hilang “mood” dan enggan melayan sebarang pertanyaan wartawan ketika keluar dewan.

Tiada ulasan: