KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertindak menolak usul untuk membahaskan perilaku hakim Mahkamah Rayuan dalam kes liwat II Ketua Pembangkang, hari ini.
Menurut Azmin, tindakan Pandikar yang hanya menggunakan alasan usul kerajaan perlu diutamakan adalah sangat mengecewakan.
"Saya kecewa dengan tindakan Speaker yang mengambil tindakan drastik untuk keluarkan saya daripada Dewan tanpa satu penjelasan yang kuat dan kukuh.
"Saya sekadar minta penjelasan kenapa satu usul yang penting dibawa oleh saya iaitu mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (8) dan juga menepati Perlembagaan persekutuan mengikut perkara 127 untuk membincangkan kelakuan dan perilaku hakim ditolak dengan sewenang-wenangnya tanpa penjelasan yang jelas.
"Walaupun Speaker jelaskan mengikut perkara 15 (1) urusan kerajaan perlu didahulukan tetapi pemahaman saya yang disokong oleh peguam yang memahami perlembagaan dan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengatasi peraturan mesyuarat.
"Sepatutnya Dewan harus benar usul ini dibahaskan pada hari ini dan ini tidak berlaku, ini sangat mengecewakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas diarah keluar Dewan.
Azmin menambah, tindakan Speaker itu tidak akan melemahkan semangat pemimpin PR dalam memastikan institusi kehakiman terus terpelihara.
"Pimpinan PR akan terus berusaha untuk mendaulatkan undang-undang dan badan kehakimanan dapat dipulihkan sepenuhnya," katanya.
Semalam Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan, PR telah membuat satu usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 36 (8) untuk membincangkan dan mengambil tindakan ke atas tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Menurut beliau, usul tersebut wajar dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahaskan hari ini kerana telah menepati semua syarat.
"Usul tersebut dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk membincangkan kelakuan hakim-hakim. Sebarang usul untuk membincangkan kelakuan hakim di bawah Perkara 127 memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat ahli Parlimen.
"Kita telah memfailkan usul ini pada 26 Mac lalu kepada Speaker Dewan Rakyat dengan sokongan 63 ahli Parlimen. Ia juga menepati syarat-syarat pemberian notis 14 hari seperti ditetapkan Peraturan Majlis Mesyuarat," katanya.
Selain Azmin, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin juga turut diarah keluar kerana keengganan Speaker mempercepatkan usul Azmin.
Susulan tindakan itu, Ahli Parlimen PR beramai-ramai meninggalkan Dewan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan