Isnin, 14 April 2014

Asnaf zakat terima motor roda tiga sumbangan LZS




HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Seramai 10 orang usahawan asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri menerima motor roda tiga bernilai RM168,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui anak syarikatnya, MAIS Zakat Sdn Bhd.

Bantuan yang diserahkan di Dataran Pantai, Sekinchan, Sabak Bernam semalam bertujuan memperluaskan projek perintis program keusahawanan di mana setiap asnaf menerima motor roda tiga beserta modal pusingan dan kelengkapan perniagaan, lapor Selangor Kini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, berkata bantuan itu adalah melalui peruntukan zakat yang diperuntukkan saban tahun untuk diagihkan kepada golongan asnaf di bawah Program Pembangunan Ekonomi.

Beliau berkata, mereka yang menerima bantuan berkenaan terdiri daripada penjaja atau peniaga yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di tepi jalan atau tapak pasar malam.

“Kita mahu satu platform yang mana kita boleh ketengahkan golongan asnaf ini supaya masyarakat dapat lihat mereka berusaha untuk mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.

“Bantuan ini diserahkan kepada golongan asnaf pelbagai usia termasuk orang kelainan upaya (OKU), yang mana ia satu titik permulaan dalam kehidupan mereka dengan konsep berbeza untuk membolehkan mereka meraih pendapatan sendiri,” katanya.

Selain penyerahan motor roda tiga, pihak LZS turut menyerahkan 20 buah lori kepada asnaf yang layak untuk digunakan bagi tujuan perniagaan.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Awaluddin Zakaria, Pegawai Belia Masyarakat Daerah Kuala Selangor, Razali Abdul Mayas dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.

Izam berkata, hanya asnaf fakir dan miskin yang berpotensi dan memenuhi syarat layak menerima bantuan terbabit selepas melalui proses saringan.

Katanya, semua asnaf yang dipilih adalah melalui proses temuduga, mempunyai perniagaan sendiri dan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.

“Disebabkan pelaburan untuk projek ini sangat tinggi, jadi kita perlu cari orang yang betul-betul ingin berniaga dan keluar dari kemiskinan. Kriteria utama adalah mereka mesti sudah memulakan perniagaan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun dan kita akan bantu supaya mereka dapat lebih (pendapatan).

“Sebelum ini mereka berniaga secara statik, jadi dengan adanya kenderaan ini akan memudahkan mereka untuk bergerak ke tempat lain seterusnya menjana pendapatan lebih banyak,” katanya.

Tiada ulasan: