KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan penganjuran satu lagi acara hiburan liar Topless Friday Beach Party yang dijadualkan berlangsung di The Pool, Jalan Ampang malam esok.
“Di samping iklan yang diedarkan cukup provokatif, program seperti ini tidak mencerminkan etika dan norma masyarakat timur yang santun dan berbudaya sopan,” ujar Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi kepada Harakahdaily.
Katanya, di kala masyarakat masih bersedih dan terkejut dengan kejadian kehilangan pesawat MH 370 serta kes kematian pengunjung konsert liar Future Music Festival Asia di Bukit Jalil yang masih di dalam siasatan, masih ada penganjur yang kurang keinsafan dan sanggup menganjurkan program-program liar dan biadap seperti itu.
Justeru, beliau bertanya apa faedahnya acara liar seperti itu selain dari menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan insiden keselamatan akan berlaku.
Beliau berkata, seperti di dalam kes konsert liar di Bukit Jalil tempoh hari, penggunaan arak secara berlebihan dan penyalahgunaan dadah begitu meluas.
“Walaupun selepas desakan PAS dan NGO ianya telah dibatalkan apa jaminannya program seperti ini tidak berulang.
“Sampai bila kerajaan hanya akan mengambil tindakan selepas berlaku bantahan rakyat,” ujarnya lagi.
Sesungguhnya, jelas beliau kemungkaran seperti itu cuma akan mengundang murka Allah SWT dan akan menjadi penyebab kepada lebih banyak dugaan dan masalah menimpa negara dan masyarakat.
Menurutnya, Pemuda PAS akan menghantar memorandum sebagai teguran kepada pihak kerajaan atas kelekaan membiarkan penganjuran program hedonis seperti itu.
“Pada masa yang sama, kita menggesa pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, pihak polis dan Jabaran Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk tuntas menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas termasuklah tindakan menarik lesen operator sebagai ingatan kepada semua pihak untuk tidak menjalankan program-program seperti ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan