Ahad, 20 April 2014

Anwar: Najib perlu dedah ‘barang’ yang disorok dalam kargo MH370

Oleh Amirul Azhan


IPOH 20 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan barangan apa sebenarnya yang dibawa dalam kargo MH370 dan cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, banyak persoalan berhubung misteri kehilangan pesawat berkenaan belum dijawab Kerajaan Malaysia termasuk penjelasan mengenai kandungan kargo.

“Setiap kapal terbang yang berlepas mesti ada ‘cargo manifest’, maknanya keterangan barangan yang dibawa dan semuanya direkodkan, (tapi) yang ada (dalam MH370) hanyalah empat tan manggis dan bateri (lithium ion).

_MG_5979“Sampai sudah Kerajaan Malaysia dan MAS belum bagi maklumat dan masih lagi berahsia. Kenapa takut sangat? Benda apa yang nak dicuri?
 Apa sebenarnya barang yang nak dibawa ke China? Najib tolong beritahu,” kata Anwar, di hadapan 4,000 hadirin pada ceramah Jelajah Reformasi 2.0 di Wisma KEADILAN, Bandar Ipoh Raya, Jumaat lalu.

Sehingga kini tiada laporan bahawa kerajaan menyerahkan butiran mengenai kandungan kargo itu kepada Kerajaan Australia seperti diminta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada 18 Mac menafikan MH370 membawa barangan berbahaya, sebaliknya menyatakan hanya terdapat tiga hingga empat tan manggis dalam pesawat itu. Namun, empat hari selepas itu beliau mengesahkan pesawat itu membawa muatan bateri lithium ion dan juga platform kayu untuk muatan kargonya.

Anwar selanjutnya, mempersoal kelemahan ketara yang cuba ditutup kerajaan iaitu keupayaan sistem radar milik negara mengesan MH370.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, radar Malaysia sepatutnya mampu mengesan MH370 kerana kerajaan membeli sistem radar daripada Marconi untuk kawasan utara Malaysia.

“Radar Marconi dipasang di Pangkalan Udara (PU) Gong Kedak dibeli dengan kos RM1.2 bilion adalah canggih. Lalu lintas pesawat pelbagai saiz semua boleh nampak dan pesawat negara boleh memintas untuk tindakan segera jika ada pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara.
Macamana radar boleh tak nampak? Kenapa rahsiakan maklumat ini dan tidak disampai kepada rakyat?

“Radar ada, tentera udara ada, Menteri Pertahanan pun ada, kalau kapal terbang tanpa kebenaran masuk dan lalu semua negeri dan jika dibom Komtar dan datang ke Ipoh macamana? Tentunya keselamatan kita tak boleh dijamin oleh Menteri Pertahanan, sebab itulah Hishammuddin (Hussein) mesti letak jawatan,” tegas Anwar.

Turut dibangkitkan Anwar termasuk mengenai kehadiran dua penumpang warga Iran yang menggunakan pasport curi semasa menaiki penerbangan itu.

“Bagaimana pasport curi dari Itali boleh dipakai oleh orang Iran dan bolos masuk Imigresen sedangkan kita ada sistem canggih dan hal ini terlebih dahulu diberitahu oleh Interpol sekiranya ada berlaku kecurian pasport,” kata Anwar.

Tegasnya, tiga persoalan penting ini yang masih belum dijawab, menguatkan dakwaan bahawa kerajaan Umno BN cuba menyembunyikan maklumat kehilangan MH370.

Tiada ulasan: