MALAYSIAKINI
Bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai pelaksanaan Cukai Barangan
dan Perkhidmatan (CBP), kerajaan melatih 330 penceramah untuk memberi
penerangan CBP di setiap kawasan Parlimen.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata setiap kawasan
Parlimen akan diadakan empat program penerangan mengenai CBP di empat
kawasan berbeza oleh seorang penceramah yang dilatih itu.
"Setiap penceramah kita bekalkan dengan input berkaitan seperti dokumen,
pemacu pena yang mengandungi graf dan maklumat berkaitan CBP untuk
digunakan dalam pembentangan multimedia mereka supaya rakyat mudah faham
apabila ceramah diselitkan dengan input ini.
"Setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM10,000 oleh Kementerian
Kewangan yang mana setiap program membabitkan RM2,500 dan ia akan
diadakan di empat balai raya berbeza," katanya kepada pemberita selepas
memberi penerangan pelaksanaan CBP kepada Umno Cawangan Temerloh di
Temerloh hari ini.
Beliau berkata semua penceramah itu dipilih sendiri oleh Ketua Umno
Bahagian di setiap kawasan Parlimen dan mereka menjalani latihan selama
tiga hari.
"Penerangan CBP di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara ini akan
dilaksanakan dalam masa dua bulan ini, bermula minggu ini manakala di
Sabah dan Sarawak kita akan tetapkan tarikh lain kemudian," katanya.
Ahmad berkata bagi kawasan yang belum memiliki penceramah yang sesuai,
pihaknya telah memaklumkan kepada Ketua Umno Bahagian untuk menghantar
penceramah terbaik untuk dilatih.
Dalam pada itu, beliau berkata tahap pemahaman rakyat mengenai CBP masih rendah iaitu di bawah 50 peratus.
"Saya belum berpuas hati dengan perkara ini, tahap pemahaman rakyat
masih rendah, kita harap dengan program penerangan yang akan diadakan
nanti oleh penceramah dilatih, semakin ramai yang akan memahaminya,"
katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan