Oleh: Ruqayya Rahman
KUALA LUMPUR: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil warga pendidik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam perjumpaan khas di Johor Bahru 16 April ini, ibarat menodai institusi pendidikan.
Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, Umno BN makin terdesak hingga sanggup memperalatkan Kementerian Pendidikan untuk meraih undi.
“Mendidik adalah kerja suci. Guru bekerja kuat untuk membentuk manusia. Saya tak tahu menteri macam mana yang sanggup menggunakan kuasa yang ada padanya untuk nodai institusi yang suci ini demi kepentingan pilihan raya,”
“Kita tahu dengan jelas tujuan beliau panggil guru SJKC ke Johor, dia (Muhyiddin) tak perlu nak dolak dalik lagi, kita tahu taktik kotor dia dan konco-konconya,” kata Abbas.
Semalam, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran sementara dilapor akan mengadakan pertemuan dengan pendidik berkenaan di SJKC Foon Yew, Johor Bahru, empat hari sebelum penamaan calon.
Abbas turut membidas kenyataan timbalan Muhyiddin, Wee Ka Siong yang berkata program itu telah lama dirancang dan tidak bermotif politik.
“Kalau betul ia telah lama dirancang, KPM wajar batalkan program itu demi menjaga etika kebersihan dan ketelusan Pilihan raya. Buatlah lepas pilihan raya kalau mereka yakin dan tak terdesak,”katanya.
Sementara itu, seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan mengesahkan, guru besar, seorang guru penolong kanan dan guru sekolah di 15 buah SJKC di Wilayah Persekutuan turut menerima surat arahan itu.
Salah seorang guru menyifatkan keputusan mewajibkan guru yang tersenarai hadir pada waktu persekolahan adalah tindakan membuang masa.
Beliau yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, mereka dipaksa meninggalkan kelas demi meraikan ahli politik dan menyifatkan ia sangat mengecewakan warga pendidik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan