Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi
(Ideas) akan memastikan tiada penipuan berlaku ketika proses pengundian
awal melibatkan polis dan tentera hari ini.
Menurut Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan, sukarela badan
pemikir tersebut menghantar wakilnya di 102 cawangan Parlimen yang
menjalankan pengundian awal khususnya di kem tentera dan balai polis.
“Hari
ini berlangsung undian awal, jadi semua sukarela kita membuat
pemantauan dari setiap sudut termasuk masa permulaan bilik mengundi
dibuka sehingga ke proses pembuangan undi.
“Walaupun ini kali pertama diadakan undian awal, namun sebenarnya
tiada beza dengan undi pos yang dilaksanakan kepada polis dan tentera
sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Wan Saiful berkata, pengundian awal hari ini akan memudahkan kerja
pemantau, tetapi tidak menolak akan berlaku sebarang perkara tidak
diingini jika tidak diberikan perhatian semasa proses pembuangan undi.
“Dalam proses pengundian, macam-macam boleh berlaku, tetapi pemerhati
sebagai badan bebas akan melihat dari semua sudut supaya tiada penipuan
ketika mengundi.
“Apabila proses mengundi di kem contohnya, semua kuasa berada di
tangan ketua kem, bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana
mereka sendiri perlu mendapatkan kebenaran untuk menjalankan proses
mengundi di kem,” katanya.
Selain Ideas, kumpulan yang dijemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
sebagai pemerhati bertauliah tempatan ialah Pusat Pengajian Polisi Awam
di bawah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dan Majlis Belia
Malaysia.
Terdahulu, Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) telah menarik diri menjadi pemerhati.
SPR sebelum ini mengumumkan kira-kira 17 pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) melibatkan lebih 2,500 individu akan bertindak sebagai pemerhati
tempatan pada PRU 13.
Manakala bagi peringkat antarabangsa, lima negara Asean iaitu
Kemboja, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina, dan setiap dari
negara tersebut akan menghantar seramai tujuh orang pemerhati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan