Selasa, 30 April 2013

Pakatan mensasarkan 12 kerusi Parlimen di Johor, kata Kit Siang

TERKINI
Oleh Boo Su-Lyn



 Lim KIt Siang menegaskan PR mensasarkan untuk menang 125 daripada 222 kerusi Parlimen dengan PKR 45 kerusi, DAP dan PAS masing-masing mempunyai 40 kerusi. - Gambar The Malaysian InsiderKUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan untuk menang 33 kerusi Parlimen di Johor, Sabah dan Sarawak, termasuk 12 di negeri selatan semenanjung, dikala pakatan itu mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya 2013, kata Lim Kit Siang, hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu membangkitkan tentang laporan akhbar Nanyang Siang Pau hari ini yang memetik sumber BN sebagai berkata gabungan pemerintah itu akan kehilangan 10 kerusi Parlimen di Johor.

“Sebab itu pertempuran Gelang Patah adalah untuk membuat satu kejayaan di Johor,” kata Lim yang bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor kepada pemberita di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 12 kerusi Parlimen di Johor dan lebih satu pertiga di Johor, Sabah dan Sarawak yang mempunyai 83 kerusi Parlimen. Pakatan boleh menang 33 kerusi Parlimen,” tambah beliau.

Lim menegaskan PR mensasarkan untuk menang 125 daripada 222 kerusi Parlimen dengan PKR 45 kerusi, DAP dan PAS masing-masing mempunyai 40 kerusi.

“Tiada parti yang akan menjadi dominan,” katanya.

BN yang telah berkuasa semenjak merdeka, berhadapan dengan cabaran terbesar daripada pembangkang selepas menang Pilihan Raya 2008 dengan majoriti paling kecil dalam sejarah.

PR mensasarkan untuk menghapuskan MCA di Johor dengan Lim mengetuai dan berhadapan dengan Menteri Besar sementara Datuk Abdul Ghani Othman di Gelang Patah.

Walaupun PR turut mensasarkan untuk menang banyak kerusi di Malaysia timur, pertarungan pelbagai penjuru akan menyukarkan usaha mendapatkan lebih daripada satu kerusi Parlimen di Sabah yang mereka menang dalam Pilihan Raya 2008.

Lim menyelar BN dan Umno hari ini kerana menuduh beliau adalah pelaku kepada rusuhan kaum 13 Mei dalam kempen di Gelang Patah selain menggambarkannya sebagai anti Melayu, anti Islam dan anti Raja.

“Kenapa gunakan 13 Mei untuk takutkan rakyat Malaysia? Ini adalah politik lama. Kita mahu politik baru untuk masa depan,” katanya.

Lim juga mengatakan 70,000 menghadiri ceramahnya di Pulau Pinang malam tadi, walaupun hujan.

“Kami mengumpulkan RM230,000,” kata penasihat DAP itu.

Tiada ulasan: