Ahad, 28 April 2013
Kempen BN ganas, bendera KEADILAN Parlimen Batu dirobek
Oleh Redzuan Shamsudin
KUALA LUMPUR : Calon KEADILAN Parlimen Batu, Tian Chua mencabar BN mengamalkan corak kempen lebih harmoni dan menghindari politik ganas serta perkauman.
Tian mencabar pesaingnya dari BN, Dr Dominic Lau agar membuat perisytiharan terbuka untuk berkempen secara beretika.
Katanya, Domenic mesti mengarahkan jentera kempen BN agar tidak mengganggu gugat atau mensabotaj bahan kempen Pakatan Rakyat di Batu, sebelum perkara lebih buruk terjadi.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata demikian selepas petugas Pakatan di kawasan kejiranan Batu Muda mengadu bendera parti dirobek oleh pihak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan BN.
Selain itu, satu pergaduhan kecil juga berlaku pada 25 April lalu melibatkan petugas Pakatan dan BN.
“Saya mencabar calon BN, Dr Domenic memberi nasihat kepada petugas BN berkempen secara beretika.
“Kita juga cabar Domenic agar melarang jentera BN menggantung banner yang berunsur perkauman dan berbentuk hasutan.
“Domenic mesti arahkan orang-orangnya untuk menurunkan banner seperti itu. Jika tidak petugas kita akan melakukannya,” kata Tian pada sidang media di pejabat khidmat masyakarat Parlimen Batu, Sentul, semalam.
Mengulas isu sama, Ketua Penerangan KEADILAN Batu, Badiuzzaman Ali berkata, kempen politik tidak beretika BN amat mengganggu keharmonian penduduk pelbagai kaum di Batu.
Katanya, cara berkempen seperti itu tidak wajar dilakukan oleh sebuah parti yang kononnya mengaku telah bertransformasi menjadi lebih baik.
Dalam sidang media yang sama, Tian melancarkan manifesto Parlimen Batu yang mengandungi 12 perkara.
Antaranya, meningkatkan mutu pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas Interakota; memperbaiki sistem saliran yang kerap mengundang banjir; menambah pembinaan rumah mampu milik; menyelesaikan masalah kekurangan lot parkir yang kronik; mengisytihar beberapa kampung Melayu di pinggir kota sebagai kampung warisan dan memperbanyak kemudahan rumah ibadat serta tempat perkuburan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan