PUTRAJAYA:
Calon PAS Putrajaya Datuk Husam Musa sedia berdebat secara terbuka
dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak mengenai
isu pelaksanaan hudud. Husam berkata, dirinya sentiasa terbuka untuk
menerima pelawaan Najib sekiranya beliau bersedia untuk berdebat
mengenai pendirian PAS tentang isu ini.
“Nak
berdebat tentang hudud bila-bila masa saja kalau tak minta diam,”
katanya di hadapan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri kawasan
belakang Istana Kehakiman Putrajaya di Presint 3 di sini malam tadi.
Husam
dalam ucapannya memberi amaran kepada Najib supaya jangan menakutkan
rakyat berbilang kaum dengan sentimen agama. Katanya, debat itu penting
bagi membuktikan sejauh mana pandangan PAS dan BN terhadap isu hudud
sekiranya dilaksanakan di negara ini.
“Kalau tak sanggup (debat) bermakna dia (Najib) hanya berpura-pura dengan isu ini,” katanya.
Najib
ketika ditemui pemberita di Pekan semalam berkata pergeseran antara DAP
dan PAS mengenai isu hudud jelas membuktikan Pakatan Rakyat tidak
mampu memerintah negara jika rakyat memberikan mandat kepada mereka
menguasai Putrajaya.
Katanya, PAS dan DAP tiada persefahaman dalam Pakatan Rakyat, berbeza dengan parti komponen lain yang bekerjasama dalam BN.
Unsur rasuah
Sementara
itu, beliau turut mendakwa kejadian tembakan melibatkan kematian
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Shaharuddin
Ibrahim pagi semalam ada kaitan dengan unsur rasuah.
Menurut Husam, sikap kerajaan yang membiarkan korupsi berleluasa akan membawa kesan kehancuran kepada negara.
“Dosa yang paling besar adalah membiarkan korupsi sehingga menyebabkan negara hancur,” katanya.
Beliau petang semalam sempat turut serta dalam solat dan mengiringi jenazah Shaharuddin ke Tanah Perkuburan Presint 20.
Sementara
itu, beliau turut menekankan janjinya terhadap kakitangan kerajaan yang
berstatus Gred 41 ke bawah bakal menikmati penghapusan cukai 4 peratus
yang dikenakan dalam setiap pembelian rumah dan kereta bagi
mengurangkan beban ekonomi mereka.
Katanya, perkara itu tidak mustahil kerana kakitangan awam negeri Kelantan sudah menikmatinya sejak tahun 1990 lagi.
“Kalau menang kepada penjawat awam boleh pegang janji saya, mereka takkan dianiayai atau dipinggirkan.
“Anda semua adalah sahabat saya dan saya sahabat anda semua,” katanya.
Turut hadir memberikan ceramah Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, calon PAS.
Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi serta Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan