Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai mencatatkan sejumlah 243 pemilih berdaftar dengan 171 mengundi, 17 daripada 18 pemilih mengundi di Kunming dan 35 daripada 45 pemilih di Guanzhou.
Di Beijing, seramai 121 daripada 180 pemilih termasuk tiga anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunaikan tanggungjawab masing-masing.
China merupakan negara ketiga terbesar jumlah pengundi pos selepas Amerika Syarikat dan Australia.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurucakap Pejabat Kedutaan Malaysia di sini berkata pemilih masih boleh mengambil Sampul Keutamaan pada waktu pejabat antara 9 pagi dan 5 petang di pejabat itu mulai 29 April hingga 5 Mei ini kecuali pada Hari Pekerja 1 Mei ini.
Bagaimanapun, pemilih harus memastikan undi pos mereka diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kawasan masing-masing sebelum pukul 5 petang, 5 Mei ini.
Sementara itu, seorang pengundi pos, Lee Yee Thian, 36, berkata Kedutaan Malaysia di sini telah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk mengundi.
"Saya terlepas peluang mengundi sejak dua pilihan raya umum lepas kerana berada di United Kingdom. Pada waktu itu, adalah tidak praktikal untuk rakyat Malaysia di luar negara pulang untuk mengundi," katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap SPR mengendalikan proses mengundi secara profesional.
Fuad Nawawi, 43, yang tinggal di sini selama tiga tahun, memuji langkah SPR menyediakan pusat khas bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan hak mereka sebagai pemilih melalui sistem baharu pengundian secara pos.
Ini merupakan kali pertama Fuad mengundi secara pos dan sebelum ini beliau, yang bekerja dalam industri minyak dan gas, tinggal di Vietnam dan United Kingdom. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan