Selasa, 30 April 2013

Dahlah Curi Idea Manifesto, Kini Umno-BN “Curi Kredit” Kejayaan PR Selangor


MB PC Mic Tie Blue 01

SHAH ALAM  : Kredibiliti Umno-BN Selangor didakwa menjunam lagi apabila gagasan itu cuba memancing undi dengan “mencuri kredit” kejayaan Pakatan Rakyat Selangor.

Terbaru Pengerusi Umno-BN Datuk Seri Najib Razak cuba meraih sokongan dengan menawarkan potongan harga rumah Bukit Botak, sebuah projek perumahan yang diabaikan Umno-BN tetapi diselamatkan dan disiap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Najib, yang juga Pengerusi Umno-BN Selangor, turut disangah oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila beliau cuba mengambil kredit dalam penyelesaian projek rumah terbengkalai Alam Perdana.

“Adalah lucu apabila Najib tiba-tiba ke Alam Perdana dan menabur janji serta memberi maklumat salah seolah-olah beliaulah hero. Sedangkan penduduk tempatan telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk selesaikan masalah tersebut.

“Saya tidak menjangka Najib akan merendahkan martabat dan kredibilitnya sebagai seorang Perdana Menteri sementara dan ini juga menunjukkan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk dapatkan Selangor kembali,” ujar Abdul Khalid dalam satu sidang media di sini.

Semalam, Najib mendakwa Kerajaan BN melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyelesaikan masalah rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana di Ijok yang terabai lebih sepuluh tahun.

bukit botak rumah asri 01

Hakikatnya, Kerajaan Negeri mengambil alih projek yang berkeluasan 1,037 ekar itu daripada SPNB dan membelanjakan sebanyak RM 200 juta untuk menyiapkan projek tersebut, membayar pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

Najib dalam satu siri kempen lain turut menjanjikan harga rumah projek Bukit Botak di Selayang akan diturunkan sehingga RM 70,000 daripada harga yang ditawarkan Kerajaan Negeri, RM 99,000 sekiranya BN diberi mandat menerajui Kerajaan Negeri.

Mengulas tawaran tersebut, Abdul Khalid berkata tawaran itu membuktikan ketidakcekapan dan ketidaktelusan Umno-BN dalam membelanjakan wang pembayar cukai.

“Kenapa pula hendak dibelanjakan lagi wang pembayar cukai kepada perkara atau masalah yang sudah selesai, kalau Najib ada duit lebih gunakanlah untuk menolong projek-projek lain.

“Saya tidak sangka pemikiran Perdana Menteri begitu cetek.

“Lebih baik wang RM 20,000 yang ditawarkan seunit itu digunakan untuk menyelesaikan 140 lagi projek perumahan terbengkalai lain yang ditinggalkan Umno-BN, yang kini masih lagi Kerajaan Negeri (PR Selangor) berusaha untuk selesaikan.”

Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan 1,422 unit rumah di projek Bukit Botak yang terbengkalai sejak 1985, yang tidak pernah diselesaikan pentadbiran Umno-BN dahulu.

Tiada ulasan: