Isnin, 29 April 2013

PM tak setuju tinjauan Umcedel, yakin BN menang PRU13

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
RAWANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan sebagai karut satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), dan menegaskan beliau yakin Barisan Nasional (BN) berada di laluan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Najib berkata beliau tidak setuju dengan kajian Umcedel itu yang menunjukkan beliau berada empat mata di belakang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Saya tidak setuju dengan tinjauan itu (oleh Umcedel). Kami ada tinjauan kami sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami (BN) berada di hadapan.

"Saya yakin kita boleh memenangi PRU13," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Sungai Terentang di sini hari ini.

Najib mengulas tinjauan itu dibuat awal April melibatkan 1,407 responden yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan itu menunjukkan 43 peratus pengundi berpendapat Anwar layak jadi perdana menteri sementara 24 peratus tidak setuju dan selebihnya tidak pasti.

Sementara bagi Najib, 39 peratus pengundi berkata beliau layak menjadi perdana menteri sementara 31 peratus tidak setuju dan 30 peratus selebihnya tidak pasti. - Bernama

Tiada ulasan: